KUALA LUMPUR: Pegawai wanita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang mendedahkan kegiatan salah laku pegawai atasannya akan dilindungi.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, beliau memberi jaminan itu sambil menyifatkan tindakan pegawai berkenaan sebagai berani dan wajar dihargai selain menjadi titik permulaan kepada perubahan budaya kerja serta integriti dalam AKPS.
Katanya, AKPS komited memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membongkar kemungkinan rangkaian lebih besar dalam kegiatan penyeludupan migran susulan kes berkenaan.
“Kami berharap pihak PDRM dapat merungkai rangkaian yang lebih besar daripada penangkapan pegawai ini dan saya bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu sedemikian.
“Tangkap berapa ramai yang perlu ditangkap. Saya rasa rakyat Malaysia sudah cukup muak dengan kegiatan seperti itu,” katanya selepas Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa, di sini, semalam.
Pada 17 November lalu, seorang pegawai AKPS ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah melalui kaunter Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26B(d) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Mohd. Shuhaily berkata, penahanan itu dilakukan selepas seorang pegawai wanita AKPS menyedari tindakan pegawai atasannya yang didakwa melakukan sesuatu di luar prosedur ditetapkan.
Beliau berkata, kes itu tidak boleh dipandang ringan kerana kegiatan sedemikian berpotensi melibatkan kegiatan percaturan kaunter atau counter setting.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai modus operandi kes berkenaan kerana siasatan masih berjalan.
“Saya tidak mahu mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan. Saya hanya boleh menjelaskan mengenai pegawai saya dan keberanian beliau,” jelasnya.
“Keberanian seperti ini perlu dihargai dan dihormati kerana hanya seorang individu boleh mengubah apa yang berlaku di lapangan.
“Beliau berani tampil walaupun berdepan cabaran dan saya akan berada di belakang beliau,” ujarnya. – UTUSAN











