Pembolosan warga asing KLIA: Mengapa masih tiada kesudahan?

Pembolosan warga asing di KLIA: Mengapa masih tiada kesudahan?

ISU counter-setting yang telah wujud sebelum AKPS dan kes yang masih muncul selepas penubuhan AKPS seharusnya menjadi pengajaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Memuatkan artikel berkaitan…
ISU kemasukan warga asing yang tidak memenuhi syarat melalui pintu masuk negara, khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bukan lagi sekadar masalah imigresen. Isu ini turut melibatkan integriti, tadbir urus, kawalan sempadan, penguatkuasaan dan keselamatan negara.
Setiap kali timbul laporan mengenai warga asing yang cuba memasuki negara tanpa memenuhi syarat, termasuk dakwaan penglibatan sindiket atau pegawai penguat kuasa dalam rasuah, masyarakat pasti tertanya-tanya bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan pelbagai prosedur, teknologi, kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem maklumat telah disediakan di pintu masuk negara.
Lebih membimbangkan, mengapa masalah ini masih berulang tanpa penyelesaian yang tuntas?
Penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merupakan langkah penting dalam usaha menyelaras dan memperkukuh kawalan sempadan negara.
Harapannya jelas: kawalan pintu masuk negara perlu lebih bersepadu, lebih tersusun dan lebih berkesan. Namun, kita perlu memahami satu perkara.
Penubuhan agensi baharu tidak dengan sendirinya menghapuskan risiko rasuah. AKPS sendiri mengakui bahawa sebagai sebuah agensi baharu yang menghimpunkan pegawai daripada beberapa agensi, ia turut mewarisi sebahagian daripada masalah lama.
Masalah integriti tidak selesai hanya dengan menukar struktur organisasi. Ia memerlukan pembaikan terhadap manusia, proses, sistem, kawalan dan budaya kerja.
Selepas AKPS, Kes Masih Muncul
Pada 24 Julai 2025, seorang pegawai penguat kuasa di KLIA 1 pula ditahan oleh Unit Pemantau dan Unit Integriti AKPS kerana disyaki terlibat dalam kegiatan counter-setting.
Menurut AKPS, rakaman CCTV menunjukkan tingkah laku mencurigakan di kaunter pemeriksaan masuk.
Pegawai tersebut ditemui bersama RM8,391.00 wang tunai, tiga peranti komunikasi dan catatan yang mengandungi nombor pasport yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah.
Kes tersebut kemudiannya diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk tindakan lanjut. Perkembangan ini tidak semestinya bermakna AKPS gagal.
Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa mekanisme pemantauan dan pengesanan masih berfungsi. Tetapi pada masa yang sama, kita perlu berani bertanya: Mengapa ruang yang sama masih boleh muncul?
Adakah kelemahan lama benar-benar telah ditutup? Adakah kawalan baharu cukup berkesan? Adakah sistem dapat mengesan risiko sebelum seseorang pegawai dipengaruhi?
Pegawai AKPS Ditahan
Pada Januari 2026, Menteri Dalam Negeri memaklumkan bahawa 29 pegawai dan kakitangan AKPS telah ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Menteri menegaskan bahawa penahanan tersebut menunjukkan tiada kompromi terhadap pelanggaran etika, tatatertib dan integriti dalam kalangan anggota AKPS. Perkara ini perlu dilihat secara adil.
Penahanan atau siasatan bukan bermakna seseorang telah bersalah. Setiap kes perlu melalui proses undang-undang dan tindakan sewajarnya berdasarkan bukti.
Namun dari sudut pencegahan rasuah, angka dan perkembangan tersebut tetap memberikan satu isyarat penting: Risiko integriti di pintu masuk negara masih perlu diberi perhatian yang sangat serius.
Bukan Hanya Siapa
Apabila seorang pegawai ditangkap, masyarakat biasanya bertanya: “Siapa yang menerima rasuah?” Soalan itu penting. Tetapi untuk tujuan pencegahan, terdapat soalan yang lebih penting: “Bagaimana dia mendapat peluang untuk melakukan perbuatan itu?”
“Di mana kawalan gagal?” “Adakah terdapat tanda awal yang tidak dikesan?” “Adakah sistem terlalu bergantung kepada integriti seorang pegawai?”
“Adakah kuasa membuat keputusan terlalu tertumpu kepada individu tertentu?” Dan akhirnya: “Apakah yang perlu diperbaiki supaya perkara yang sama tidak berulang?” Hal inilah persoalan tadbir urus.
Jangan Tunggu SPRM Datang
Unit Integriti, penyelia, pengurusan risiko, audit dalaman dan pihak pengurusan perlu mempunyai mekanisme amaran awal.
Contohnya: Pola kelulusan yang luar biasa; perubahan rekod yang mencurigakan; akses sistem pada keadaan tidak normal; hubungan luar biasa dengan pihak luar; aduan berulang terhadap pegawai atau lokasi tertentu; tumpuan kuasa kepada individu tertentu; ketidakpadanan antara rekod sistem dengan aktiviti sebenar; dan corak kemasukan yang menunjukkan kemungkinan manipulasi.
Semua ini bukan bukti jenayah secara automatik, tetapi ia adalah red flag yang sepatutnya mendorong pemeriksaan lebih lanjut.
Tutup Ruang Dan Peluang
Setiap kes rasuah sepatutnya menjadi peluang untuk melakukan post-mortem integriti.
Selepas kes berlaku, organisasi perlu bertanya: Apakah kawalan yang gagal? Mengapa ia masih gagal? Adakah kelemahan itu telah dikenal pasti sebelum ini? Adakah cadangan penambahbaikan telah dilaksanakan?
Adakah pelaksanaan benar-benar berkesan atau sekadar pematuhan atas kertas? Apa yang paling penting: Adakah kelemahan yang sama masih boleh dieksploitasi oleh orang lain? Jika jawapannya ya, maka kita belum menyelesaikan masalah. Kita hanya menyelesaikan satu kes.
Kita Tidak Boleh Terus Berada Dalam Kitaran Yang Sama
Bayangkan jika kitarannya terus berulang: Pembolosan, siasatan, pegawai ditangkap, tindakan pendakwaan atau tatatertib, penambahbaikan sistem, kes baharu dan siasatan semula.
Persoalannya ialah, bilakah kita benar-benar memutuskan rantaian itu? Kita tidak boleh mengukur kejayaan hanya berdasarkan berapa ramai pegawai ditangkap. Tangkapan menunjukkan penguatkuasaan berjalan. Tetapi ukuran pencegahan yang lebih penting ialah:
Berapa banyak ruang rasuah telah ditutup? Berapa banyak kelemahan sistem telah diperbaiki? Berapa banyak risiko dapat dikesan sebelum menjadi kes? Adakah sistem hari ini lebih sukar dimanipulasi berbanding dahulu?
Keberkesanan AKPS tidak hanya diukur melalui jumlah operasi, tangkapan atau penahanan. Ukuran yang lebih besar ialah sama ada sistem kawalan sempadan kita semakin sukar ditembusi, sukar dimanipulasi dan sukar dibeli dengan rasuah.
Kita perlu bergerak daripada budaya: “Tunggu berlaku, kemudian bertindak.” kepada: “Kenal pasti risiko, tutup ruang dan cegah sebelum berlaku.”
Isu counter-setting yang telah wujud sebelum AKPS dan kes yang masih muncul selepas penubuhan AKPS seharusnya menjadi pengajaran. Bukan untuk menyalahkan mana-mana agensi atau keseluruhan warga penguat kuasa.
Tetapi untuk kita bertanya dengan jujur: Apakah yang masih bocor dalam sistem kita? Kerana apabila rasuah berlaku di pintu masuk negara, yang bocor bukan sekadar wang. Yang bocor ialah kawalan.
Yang terhakis ialah keyakinan. Apa yang paling penting untuk kita lindungi ialah, keselamatan dan kedaulatan negara. Pintu masuk negara tidak boleh mempunyai “pintu belakang”. – UTUSAN
PENULIS adalah Presiden Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah Malaysia (INTRAS) dan Mantan Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini