PETALING JAYA: Gagal mempertahankan kejuaraan perseorangan wanita Piala Dunia IBF bukan noktah buat pemain boling perseorangan negara, Natasha Mohamed Roslan, sebaliknya pingat perak yang diraih di Munich, Jerman menjadi pembakar semangat untuk memburu kejayaan dalam acara berpasukan.
Walaupun terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tewas 1-2 kepada wakil Perancis, Manon Clement dalam final Ahad lalu, Natasha tetap mempunyai sebab untuk berbangga apabila berjaya mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut.
Juara edisi 2025 itu memulakan aksi final dengan kekalahan 190-231 sebelum bangkit menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 206-147.
Namun, Clement lebih ampuh dalam permainan penentuan apabila mencatat kemenangan 204-168 untuk merampas gelaran.
“Begitu hampir, tetapi masih belum cukup untuk mempertahankan gelaran. Sudah tentu saya mahu menang sekali lagi, tetapi saya tetap gembira, bersyukur dan bangga menamatkan saingan di tempat kedua.
“Saya sudah memberikan yang terbaik dan banyak perkara boleh dipelajari daripada pengalaman ini untuk terus memperbaiki prestasi,” katanya.
Pencapaian itu sekali lagi membuktikan konsistensi pemain negara berkenaan di pentas antarabangsa, selepas mencipta sejarah sebagai juara dunia perseorangan wanita pertama Malaysia di Kuwait pada 2023, sebelum mengungguli kejohanan edisi tahun lalu di Hong Kong.
Kini, fokus Natasha beralih kepada acara berpasukan bersama Sin Li Jane, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Nur Hazirah Ramli dengan misi memperbaiki pencapaian tahun lalu, ketika skuad wanita negara terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas 2-3 kepada Amerika Syarikat dalam final.
“Selepas ini, kami akan memberi tumpuan kepada acara berpasukan. Jadi, sekarang masanya untuk kembali fokus dan membuat persiapan bersama rakan sepasukan.Masih banyak yang perlu diperjuangkan,” katanya. – UTUSAN











