'Jangan politikkan institusi diraja' - Utusan Malaysia

‘Jangan politikkan institusi diraja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi Raja-Raja Melayu perlu sentiasa dihormati dan menjadi keutamaan, sekali gus pemimpin politik khususnya DAP diingatkan agar tidak membiarkan kepentingan politik mengatasi adab serta rasa hormat terhadap institusi berkenaan dan kuasa pengampunan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo Jian Woon berkata, pemimpin politik seharusnya memahami batas dalam menyuarakan pandangan, terutama apabila sesuatu isu menyentuh institusi diraja dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, perbezaan pandangan politik tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk membangkitkan sesuatu perkara tanpa mengambil kira sensitiviti kesucian dan kehormatan institusi diraja serta implikasinya terhadap keharmonian masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jangan terlalu sibuk berpolitik sehingga lupa batas dan tanggungjawab untuk menghormati institusi Raja-Raja Melayu.

“Sebagai pemimpin, kita perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Kebebasan bersuara memang hak setiap individu, tetapi ia perlu disertai tanggungjawab dan rasa hormat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Tony Pua berkaitan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September lalu tentang keputusan pengampunan dan perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Daniel berkata, kuasa pengampunan merupakan prerogatif belas kasihan yang termaktub dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 42(1) memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, penangguhan hukuman dan penundaan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah.

“Isu yang berkaitan dengan keputusan Lembaga Pengampunan boleh dibincangkan melalui saluran yang sewajarnya, bukannya dijadikan modal politik sehingga mengheret institusi diraja ke dalam polemik yang tidak perlu,” katanya.

Katanya, kuasa itu tidak dilaksanakan secara sewenang-wenangnya. Bagi Wilayah Persekutuan, Seri Paduka Baginda menimbangkan nasihat Lembaga Pengampunan yang dianggotai antara lain oleh Peguam Negara, di bawah rangka kerja Perkara 42(4) hingga 42(9), termasuk keperluan Lembaga mempertimbangkan pendapat bertulis Peguam Negara sebelum menyampaikan nasihatnya.

“Tony Pua selaku pemimpin politik perlu membezakan antara kritikan terhadap sesuatu dasar atau keputusan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap penjalanan kuasa prerogatif institusi diraja yang didasari oleh Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya lagi.

Beliau turut berpandangan, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin politik perlu mengambil kira kesannya terhadap masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Jangan sampai kerana mahu mendapatkan perhatian politik, perkara yang sepatutnya dibincangkan secara matang akhirnya mencetuskan ketegangan dan salah faham dalam kalangan rakyat.

“Institusi Raja-Raja Melayu bukan isu untuk dipermainkan mengikut kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini