PETALING JAYA: Maybank mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 4.7 peratus kepada RM2.74 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, berbanding tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu menyumbang kepada keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM7.92 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, meningkat satu peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku berkenaan turut meningkat 1.2 peratus kepada RM3.55 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, prestasi Maybank mencerminkan daya tahan francais serantaunya serta kekuatan perniagaan-perniagaannya yang pelbagai.
“Walau bagaimanapun, persekitaran global kekal mencabar dengan ketidaktentuan geopolitik, kumpulan kekal berhati-hati dalam menilai prospek, dengan tumpuan berterusan diberikan kepada pertumbuhan yang berhemah dan pengurusan risiko yang lebih kukuh.
“Dalam usaha kami melaksanakan ROAR30, keutamaan kami kekal tertumpu kepada penyediaan pengalaman pelanggan yang lebih baik, penciptaan impak positif kepada masyarakat serta sokongan terhadap ekonomi sebenar.
“Ini bermakna kami sentiasa responsif terhadap keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang, membantu perniagaan mengharungi pelbagai cabaran, dan memastikan pembiayaan kami menyokong aktiviti ekonomi yang produktif serta pertumbuhan yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, prestasi suku ketiga pula disokong pertumbuhan fi teras sebanyak 7.7 peratus, khususnya daripada pengurusan kekayaan dan perbankan pelaburan yang masing-masing meningkat 13.5 peratus dan 19.3 peratus.
“Peningkatan fi pengurusan kekayaan didorong pendapatan pelaburan dan bancassurance yang lebih tinggi, manakala prestasi perbankan pelaburan disokong aktiviti dalam segmen Ekuiti, Komoditi dan Derivatif (ECD) serta pendapatan jualan Pasaran Global yang meningkat 7.5 peratus.
“Pendapatan bukan faedah berjumlah RM2.38 bilion berbanding RM2.46 bilion pada suku sama tahun lalu.
“Sementara itu, pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 2.3 peratus kepada RM5.12 bilion, manakala margin faedah bersih (NIM) bertambah baik lima mata asas kepada 2.07 peratus.
“Perkembangan itu menyokong peningkatan 0.5 peratus dalam pendapatan operasi bersih kepada RM7.50 bilion,” katanya.
Dalam pada itu, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 2.5 peratus kepada RM15.26 bilion, dengan NIM bertambah baik lapan mata asas kepada 2.11 peratus.
Pendapatan fi daripada pengurusan kekayaan dan perbankan pelaburan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 34.1 peratus dan 34.9 peratus.
Perbelanjaan operasi pula menyusut 1.2 peratus kepada RM11.04 bilion, mencerminkan kawalan kos Kumpulan meskipun pelaburan dalam teknologi dan keupayaan perniagaan diteruskan.
Bagaimanapun, PBT bagi tempoh itu susut kepada RM10.48 bilion berbanding RM10.61 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.-UTUSAN











