Kilang penapisan sawit perkukuh industri hiliran Kelantan

Kilang penapisan sawit perkukuh industri hiliran Kelantan

MOHAMED Fadzli Hassan (tengah) merasmikan pembukaan LPEO bersama Pengarah Urusan Kumpulan iKHASAS, Tan Chee Kian (tiga dari kanan) di Kota Bharu, Kelantan di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelantan terus memperkukuh sektor industri hiliran sawit menerusi pembukaan kilang penapisan minyak sawit berkapasiti 17,000 tan metrik di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II.

Ini sekali gus membuka peluang baharu kepada pertumbuhan sektor pembuatan dan perniagaan sokongan di negeri itu.

Kilang yang dikendalikan Liquid Palm Edible Oils Sdn. Bhd. (LPEO), syarikat di bawah Kumpulan iKHASAS, itu dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi pewujudan peluang pekerjaan serta peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan logistik, pengangkutan, pembekalan dan penyelenggaraan industri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pembukaan LPEO turut melengkapkan rantaian nilai perniagaan Kumpulan iKHASAS dalam industri sawit yang merangkumi aktiviti perladangan, pengilangan, penapisan, pembungkusan dan pengedaran produk minyak sawit.

Pengarah Urusan Kumpulan iKHASAS, Ir. Tan Chee Kian berkata, pembukaan kilang itu merupakan langkah penting dalam usaha kumpulan berkenaan memperluas operasi industri sawit sejak menceburi sektor itu pada 2017.

Katanya, perkembangan perniagaan daripada aktiviti perladangan dan pengilangan kepada sektor hiliran membolehkan kumpulan itu membina operasi yang lebih bersepadu.

“Pembukaan LPEO merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha kami melengkapkan rantaian perniagaan ini.

“Kami berharap kehadiran LPEO dapat memberi manfaat kepada Kelantan, bukan sahaja melalui pembangunan industri hiliran sawit, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat serta pengusaha tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Kemudahan berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan.

Menurutnya, pembangunan industri turut bergantung kepada ekosistem sokongan di sekelilingnya, justeru operasi kilang itu diharap dapat meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam aktiviti pengangkutan, logistik, pembekalan dan perkhidmatan industri.

Sejak 2017, Kumpulan iKHASAS mengembangkan operasi menerusi Liquid Palm Grower Sdn. Bhd. (LPG) dan Liquid Palm Miller Sdn. Bhd. (LPM) di Gua Musang, Kelantan serta SJ Grower Sdn. Bhd. di Raub, Pahang.

Operasi berkenaan meliputi aktiviti perladangan kelapa sawit dan pemprosesan buah tandan segar bagi menghasilkan minyak sawit mentah (CPO) serta isirung sawit.

Penubuhan LPEO melengkapkan rantaian pengeluaran itu menerusi proses penapisan minyak sawit mentah kepada produk minyak sawit bertapis, sekali gus meningkatkan aktiviti pemprosesan bernilai tambah di Kelantan.

Rantaian perniagaan kumpulan itu turut disokong iKHASAS Global Sdn. Bhd. yang menjalankan aktiviti pembuatan bekas, pembungkusan dan pengedaran produk minyak sawit untuk pasaran domestik serta antarabangsa.

Gabungan operasi berkenaan membolehkan Kumpulan iKHASAS menyelaraskan pengeluaran dan pembekalan minyak sawit daripada peringkat bahan mentah sehingga produk akhir yang dipasarkan kepada pengguna.

Dari sudut ekonomi negeri, kemudahan penapisan itu berpotensi mempelbagaikan aktiviti industri Kelantan, khususnya dalam sektor pembuatan dan pemprosesan, selain membuka ruang kepada pembangunan kemahiran serta pekerjaan dalam bidang teknikal dan perindustrian.

Kumpulan iKHASAS akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan secara mampan, meningkatkan kecekapan operasi dan menghasilkan produk berkualiti bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan serta antarabangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini