PETALING JAYA: Seramai 420,879 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang menduduki peperiksaan bertulis bermula semalam perlu memberi perhatian terhadap kesihatan emosi bagi mengelakkan tekanan menjejaskan persediaan dan prestasi mereka.
Ini kerana harapan terlalu tinggi untuk memperoleh keputusan cemerlang, persaingan dengan rakan sebaya serta kebimbangan mengecewakan keluarga antara cabaran yang boleh mempengaruhi keyakinan dan motivasi calon sepanjang peperiksaan.
Kaunselor Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian, Aiman Atirah Azman berkata, antara tekanan yang sering dihadapi pelajar ialah ketakutan untuk menghadapi peperiksaan, khususnya bagi mata pelajaran yang kurang dikuasai.
“Keadaan itu turut dipengaruhi perasaan rendah diri apabila melihat rakan sebaya dapat markah lebih tinggi sehingga ada pelajar membandingkan kemampuan diri dengan pencapaian orang lain.
“Ada juga pelajar berasa terbeban apabila pencapaian akademik abang atau kakak dijadikan penanda aras oleh ibu bapa, sekali gus menimbulkan harapan supaya mereka memperoleh keputusan setanding,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau sifatkan tindakan pelajar mendapatkan bantuan kaunseling secara sukarela sebagai perkembangan positif kerana mereka sedar masalah yang dihadapi dan mengambil inisiatif dapatkan sokongan sebelum tekanan lebih serius.
Katanya, ibu bapa perlu mengenali kelebihan dan kecenderungan setiap anak serta tidak mengharapkan semua mereka mencapai kecemerlangan akademik kerana ada yang lebih menyerlah dalam bidang lain seperti sukan.
“Ibu bapa perlu mengenal pasti keperibadian dan kelebihan anak masing-masing supaya mereka dapat memberikan sokongan berdasarkan potensi yang dimiliki.
“Pelajar juga perlu mengenal pasti gaya pembelajaran masing-masing sama ada visual, auditori atau kinestetik serta mengurus masa dengan baik bagi meningkatkan tumpuan dan mengimbangi tuntutan akademik dengan keperluan berehat,” katanya.
Sementara itu, Kaunselor Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli (SMKJ), Mohd Talmizi Ibrahim, 47, berkata, cabaran terbesar calon SPM ketika ini ialah menguruskan tekanan dan jangkaan terlalu tinggi terhadap diri sendiri, selain memikirkan harapan ibu bapa, persaingan rakan sebaya serta kebimbangan mengenai masa depan.
Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan pelajar hilang fokus, sukar tidur, mudah berasa cemas dan kehilangan motivasi untuk belajar, malah ada yang kelihatan ceria di hadapan orang lain tetapi sebenarnya sedang bergelut dengan tekanan emosi.
“Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi tanpa mengambil kira kemampuan dan potensi anak boleh menjadi beban sehingga mereka berasa takut gagal atau mengecewakan keluarga.
“Ungkapan seperti mesti dapat semua A, jangan malukan keluarga atau membandingkan anak dengan adik-beradik dan orang lain boleh menyebabkan mereka berasa diri tidak cukup baik,” katanya.
“Mengulas tanda awal tekanan emosi, ibu bapa dan guru perlu peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar seperti menjadi pendiam, mudah marah, kerap menangis, mengasingkan diri serta mengalami gangguan tidur dan selera makan,” katanya.
Beliau berkata, kemerosotan tumpuan dalam pelajaran, hilang minat terhadap aktiviti yang sebelum ini digemari serta kecenderungan menyalahkan diri sendiri juga antara petunjuk yang perlu diberikan perhatian. – UTUSAN











