PORTIMAO: Marc Marquez mengakui perubahan mentaliti daripada terlalu mengejar kemenangan kepada mengutamakan kekuatan mental menjadi kunci kebangkitannya merangkul gelaran dunia MotoGP kelapan musim ini.
Pelumba Ducati itu berkata, dia mula menyedari naluri untuk menang dalam setiap perlumbaan tidak lagi berkesan, terutama ketika masih bergelut memulihkan kecederaan pada separuh pertama musim.
“Saya sudah menyedari pada separuh pertama musim bahawa naluri semata-mata tidak lagi berkesan. Jadi, saya hanya cuba memberikan tumpuan kepada aspek mental.
“Saya sentiasa mahu menang dan anda tahu saya seorang pejuang, tetapi saya tidak merasakan bahawa saya mesti menang dalam apa jua keadaan.
“Mentaliti baharu ini memberi saya peluang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, kelima dan mengutip mata, sesuatu yang pertama kali saya lakukan sepanjang karier,” katanya.
Pendekatan itu ditampilkan Marquez ketika menamatkan perlumbaan GP Portugal di tempat kelapan secara berhati-hati, Ahad lalu, bagi memastikan gelaran dunia tidak lagi mampu dicabar dua pelumba Aprilia, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi.
“Semalam, kemalangan dalam perlumbaan pecut menjadi amaran besar. Jadi, hari ini saya berkata, saya tidak peduli tentang perlumbaan atau keputusan, saya hanya mahu mengesahkan kejuaraan!” katanya.
Marquez sebelum ini ketinggalan 102 mata daripada pendahulu kejuaraan selepas GP Itali di Mugello ketika baru kembali daripada menjalani pembedahan ketujuh pada lengan kanan dan bahunya. – AGENSI











