KUALA LUMPUR: Kemenangan ke atas Korea Selatan kelmarin belum menjamin laluan skuad hoki wanita negara ke separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 apabila Speedy Tigress perlu meneruskan perjuangan menentang Thailand, malam ini, dalam usaha mengukuhkan peluang ke kelompok empat terbaik.
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, CR Kumar mengingatkan pemain supaya tidak terlalu dibuai kemenangan 3-1 ke atas Korea Selatan, sebaliknya perlu mengekalkan momentum ketika baki perlawanan semakin penting dalam menentukan kedudukan pasukan.
Malaysia sebelum ini membuka kempen dengan kekalahan 1-4 kepada India sebelum mengikat China 2-2, sekali gus menjadikan kemenangan ke atas Korea Selatan sebagai suntikan penting selepas permulaan yang kurang meyakinkan.
“Kemenangan ini sangat bermakna buat seluruh pasukan dan kami tahu kepentingan setiap perlawanan, memandangkan masih ada empat lagi perlawanan yang perlu diharungi serta kami akan cuba mengekalkan prestasi terbaik sehingga perlawanan terakhir,” katanya.
Bagaimanapun, Thailand yang bakal menjadi lawan seterusnya bukan cabaran yang boleh dipandang ringan, dengan Kumar menegaskan pemain perlu terus memberikan komitmen penuh bagi memastikan peluang ke separuh akhir tidak terjejas.
“Kami akan cuba melakukan yang terbaik kerana dengan adanya rehat sehari, kami akan pulih dan cuba kembali dengan usaha yang lebih menentang Jepun, malah kami tidak akan memandang rendah sama sekali,” katanya.
Tempoh rehat sehari itu dijangka dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan untuk pemulihan dan persiapan menghadapi cabaran seterusnya, ketika Malaysia masih perlu mengharungi beberapa perlawanan penting sebelum saingan peringkat kumpulan berakhir. – UTUSAN











