Pearly-Thinaah alih fokus ke Hangzhou

Pearly-Thinaah alih fokus ke Hangzhou

PEARLY Tan-M. Thinaah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan merangkul gelaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong, kelmarin, menjadi suntikan keyakinan buat Pearly Tan-M. Thinaah, namun, beregu wanita No. 1 negara itu enggan terlalu selesa menjelang Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China yang hanya berbaki dua minggu lagi.

Sebaliknya, Pearly-Thinaah mahu memanfaatkan tempoh kritikal itu untuk memperkemaskan lagi mana-mana kelemahan terutama komunikasi di dalam gelanggang sebelum berdepan cabaran lebih besar pada kejohanan penutup musim tersebut.

Thinaah berkata, kemenangan di Hong Kong hadir selepas mereka berusaha melupakan kekecewaan minggu sebelumnya setelah tersingkir awal pada Jepun Masters.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami hadir di Hong Kong dengan harapan mahu melupakan apa yang terjadi, minggu lalu (di Kumamoto, Jepun) dan memulakan kembali dengan semangat baharu.

“Jadi, saya berasa dengan keadaan turun dan naik prestasi, kami berjaya mengendalikan dengan cara yang positif. Kami sebenarnya banyak berbincang dan ia banyak membantu kami minggu ini,” katanya kepada wakil BWF, kelmarin.

Pasangan No. 4 dunia yang diletakkan selaku pilihan kedua itu menewaskan beregu ke-11 dunia dari Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi 22-20, 21-16 dalam masa 40 minit pada final di Grand Hall – Tai Kai Arena, Hong Kong.

Menurut Thinaah, kejayaan itu meningkatkan keyakinan menjelang Jelajah Dunia Akhir, tetapi, sebelum ke Hangzhou, mereka perlu pulang ke tanah air untuk membuat lebih persediaan.

“Saya rasa masih ada beberapa perkara yang perlu kami benar-benar berikan perhatian dan perbaiki. Jadi, saya fikir tempoh dua minggu ini amat penting untuk belajar dan saling memberikan sokongan serta bagaimana kendalikan emosi,” ujarnya.

Sementara itu, Pearly pula mengakui mereka berdua terkesan dengan kekalahan pada pusingan pertama di Kumamoto, tetapi, berkat perbincangan dari hati ke hati sebelum memulakan saingan di Hong Kong, ia telah banyak mengubah keadaan.

“Kepuasan terbesar bukan semata-mata kerana berjaya meraih kemenangan, tetapi keupayaan kami mengawal emosi, mengekalkan keyakinan dan menguruskan keadaan ketika berdepan kesukaran di gelanggang,” katanya.

Mengulas pula mengenai teknik ‘soft drop’ yang kerap digunakan di Hong Kong, Pearly menjelaskan, teknik itu dipelajari daripada ayahnya sejak kecil lagi, tetapi apabila berada dalam tekanan dia seperti terlupa kemahirannya itu, jadi, dari situ penting untuknya belajar mengendalikan emosi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini