BESUT: Berdepan cuaca tidak menentu yang silih berganti antara panas dan hujan memberi cabaran besar kepada petani yang mengusahakan penanaman Melon Manis Terengganu (MMT).
Seorang pengusaha MMT, Siti Nur Asiah Ibrisham, 33, berkata, ia berikutan tanaman buah itu sensitif terhadap perubahan suhu dan kekurangan cahaya matahari.
Menurutnya keadaan tersebut bukan sahaja meningkatkan risiko serangan penyakit kulat, malah boleh menjejaskan proses pendebungaan, tumbesaran buah dan kualiti hasil sehingga menyebabkan petani terpaksa menanggung kos yang tinggi.
“Melon ini sensitif dengan perubahan suhu. Sekejap panas dan sekejap hujan menyebabkan pokok mudah tertekan, selain risiko serangan penyakit kulat menjadi lebih tinggi.
“Musim hujan juga menyebabkan tempoh tuaian terpaksa dilewatkan kerana buah kurang mendapat cahaya matahari untuk membesar dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya, penanaman melon ketika musim hujan memerlukan penjagaan lebih rapi berbanding musim panas kerana keadaan pokok lebih mudah terjejas.
Lulusan Sarjana Muda Pengurusan Ladang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Melaka Kampus Jasin itu berkata, antara ancaman utama adalah penyakit kulat downy mildew yang boleh menyebabkan keadaan pokok merosot dan menjejaskan hasil tanaman.
Tambahnya, pokok yang menunjukkan tanda serangan kulat atau mula terjejas perlu segera dibuang bagi mengelakkan penyakit merebak ke tanaman lain.
Jelasnya, ketika musim banjir tanamannya pernah mengalami kejadian pokok layu dan tidak sihat hanya dalam tempoh dua minggu sebelum tuaian sehingga memberi kesan kepada hasil yang diharapkan.
Siti Nur Asiah berkata, bagi musim kali ini, dia menanam 3,000 pokok MMT di dua lokasi iaitu di Kampung Alor Lintang dan Kampung Tok Dor, namun hasilnya dijangka tidak sebaik musim sebelumnya. – UTUSAN











