Pekerjaan berkualiti, gaji lebih tinggi perlu jadi keutamaan

Pekerjaan berkualiti, gaji lebih tinggi perlu jadi keutamaan

Pekerjaan berkualiti, gaji lebih tinggi perlu jadi keutamaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang pekerjaan berkualiti dengan tawaran gaji lebih tinggi perlu menjadi antara keutamaan Kerajaan Perpaduan memasuki tahun kelima pentadbirannya.

Langkah tersebut bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara turut membawa perubahan kepada taraf hidup khususnya kepada golongan belia.

Selepas empat tahun pentadbiran, peningkatan prestasi ekonomi dan kemasukan pelaburan perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai anak muda terutama dalam menghadapi tekanan kos sara hidup serta membina masa depan lebih stabil.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keberhasilan usaha itu bukan sahaja perlu dilihat melalui peluang pekerjaan yang diwujudkan, malah turut mengambil kira kemampuan golongan belia memperoleh pendapatan mencukupi untuk menampung keperluan harian, membantu keluarga dan membina simpanan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi berkata, pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.5 peratus dan kadar pengangguran 2.9 peratus merupakan perkembangan positif yang perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup golongan belia.

Katanya, kerajaan perlu memastikan setiap pelaburan yang diumumkan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dengan tawaran gaji lebih tinggi supaya anak muda turut menikmati manfaat daripada perkembangan ekonomi negara.

“MBM menyambut baik usaha kerajaan meningkatkan gaji minimum kepada RM2,000 pada 2027. Tetapi RM2,000 tidak boleh menjadi gaji impian anak muda, sebaliknya hanya gaji permulaan untuk membina kehidupan yang lebih baik.

“Perkembangan positif ini perlu diterjemahkan kepada kehidupan rakyat. Kita mahu ekonomi negara berkembang, poket anak muda turut berkembang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Izzat berkata, kerajaan juga perlu memberikan perhatian serius terhadap cabaran dihadapi usahawan muda dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin terkesan dengan persaingan platform jualan asing.

Katanya, usaha memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta E-Dagang perlu disegerakan sebagai antara keutamaan tahun kelima pentadbiran bagi memastikan perniagaan tempatan mendapat perlindungan sewajarnya.

“Ramai usahawan PKS yang mana majoritinya adalah belia terkesan dengan kemasukan platform jualan kilang terus ke pengguna yang berasal dari China.

“Sekiranya kerajaan benar-benar ingin membantu usahawan muda dan PKS, maka ini seharusnya menjadi fokus utama bagi tahun kelima ini. Muktamadkan segera RUU Akta E-Dagang dan lindungi PKS sebelum ramai lagi usahawan muda menutup perusahaan kerana tidak mampu bersaing dengan platform dari negara asing ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, kerajaan perlu memastikan keberhasilan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dinilai berdasarkan penempatan pekerjaan dalam bidang berkaitan serta perkembangan gaji selepas enam dan 12 bulan.

Katanya, golongan belia juga perlu dilibatkan secara langsung dalam menilai keberkesanan dasar kerajaan bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar memberi manfaat dan membawa perubahan kepada kehidupan anak muda.

“Kerajaan juga perlu menjelaskan tempoh pengecualian daripada kadar gaji minimum RM2,000 bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta serta skop dan kaedah pelaksanaan kerangka gaji pokok permulaan RM2,500 bagi graduan dan pekerjaan separa mahir.

“Bagi pekerja gig, kesan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 perlu dinilai melalui pendapatan selepas kos bekerja, liputan perlindungan sosial dan tempoh penyelesaian pertikaian.

“Kerajaan perlu melaporkan berapa banyak jawatan telah diwujudkan dan diisi, di negeri mana, berapa gajinya dan berapa ramai anak muda yang mendapat peluang tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini