Jangan pinggirkan Kohort STPM 2027

Jangan pinggirkan Kohort STPM 2027

ELAUN RM2,500 bagi Tingkatan Enam perlu turut mengambil kira kebajikan Kohort Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2027 yang sedang berada di Semester 3 agar tiada pelajar tercicir daripada bantuan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN kerajaan menerusi Belanjawan 2027 untuk memperkenalkan Elaun Sara Hidup sebanyak RM2,500 kepada setiap pelajar Tingkatan Enam mulai tahun hadapan merupakan satu perkembangan positif. 

Inisiatif yang melibatkan Kohort STPM 2028 itu mencerminkan perhatian terhadap kebajikan pelajar yang memilih laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pelajar Tingkatan Enam turut menanggung pelbagai perbelanjaan sepanjang pengajian, termasuk pengangkutan, makanan, bahan pembelajaran dan keperluan harian. Bantuan tersebut pastinya dapat mengurangkan beban kewangan, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah, sekali gus membolehkan pelajar memberikan tumpuan lebih baik terhadap pembelajaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, usaha menjaga kebajikan ini tidak seharusnya terhenti pada pemberian elaun semata-mata. Penambahbaikan prasarana, kemudahan pembelajaran serta kebajikan guru, termasuk Guru Penolong Tingkatan Enam, juga perlu diberikan perhatian.

Dalam menyambut baik pengumuman tersebut, kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan (KPM) wajar turut mempertimbangkan nasib pelajar Kohort STPM 2027.

Seramai 52,810 pelajar di 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) seluruh negara bagi kohort berkenaan dijangka berada di Semester 3 ketika pelajar baharu mula menikmati elaun pada 2027. Mereka juga sedang mengikuti laluan pendidikan yang sama, malah menanggung sendiri perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian.

Perbezaan kohort tidak seharusnya menyebabkan kelompok ini terlepas daripada pertimbangan bantuan kebajikan. Lebih-lebih lagi, Semester 3 merupakan fasa penting kerana pelajar perlu memberikan tumpuan kepada ulang kaji, tugasan dan persediaan menghadapi peperiksaan STPM.

Sehubungan itu, KPM disaran mengemukakan permohonan khas kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi menyediakan bantuan sekali bayar sekurang-kurangnya RM500 kepada setiap pelajar Kohort STPM 2027.

Berdasarkan jumlah 52,810 pelajar, peruntukan tambahan yang diperlukan dianggarkan sebanyak RM26.405 juta. Bantuan ini dapat meringankan kos pengangkutan, makanan dan bahan ulang kaji ketika mereka berada pada peringkat akhir pengajian.

Prinsip kesaksamaan perlu menjadi asas dalam pelaksanaan dasar pendidikan. Pelajar yang bakal memasuki Semester 1 pada 2027 dan mereka yang sedang berada di Semester 3 wajar diberikan pertimbangan berdasarkan keperluan masing-masing.

Sokongan terhadap Tingkatan Enam bukan sekadar bantuan kewangan tetapi juga pelaburan dalam pembangunan modal insan negara. Setiap pelajar berhak mendapat peluang pendidikan yang adil tanpa dibatasi perbezaan latar belakang ekonomi atau tahun kemasukan.

Justeru, diharapkan KPM dan Kementerian Kewangan dapat meneliti cadangan bantuan khas ini agar kebajikan pelajar Kohort STPM 2027 turut diberikan perhatian. 

Jangan sampai pelaksanaan dasar yang membawa manfaat kepada satu kelompok menyebabkan pelajar daripada kohort sebelumnya terlepas daripada pertimbangan. -UTUSAN

DATUK SYED ANUAR SYED MOHAMAD
Presiden,
Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini