DALAM dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, kebolehpasaran graduan bukan lagi bergantung pada pencapaian akademik semata-mata. Majikan turut menilai keupayaan calon menampilkan imej profesional, berkeyakinan dan mudah didekati.
Walaupun pepatah, ‘Jangan menilai buku dari kulitnya’, mengingatkan kita agar tidak menilai seseorang berdasarkan penampilan luaran, hakikatnya ketrampilan diri tetap memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan pertama.
Penampilan merupakan bentuk komunikasi bukan lisan yang mencerminkan disiplin dan sikap seseorang. Sebelum calon memperkenalkan diri, majikan sudah dapat melihat cara berpakaian, bahasa tubuh, ekspresi wajah serta tahap kebersihan. Oleh itu, penampilan kemas bukan sekadar memenuhi tuntutan luaran, sebaliknya menunjukkan kesediaan seseorang menghadapi alam profesional.
Aspek paling asas ialah kebersihan diri. Penjagaan gigi, kuku, rambut serta misai dan janggut perlu diberikan perhatian. Perkara yang kelihatan kecil ini boleh mempengaruhi imej keseluruhan, khususnya ketika menghadiri temu duga. Graduan juga perlu memilih pakaian yang sesuai dengan bidang pekerjaan dan budaya organisasi.
Bagi wanita, solekan sederhana serta pemilihan warna tudung yang lembut atau neutral dapat menyerlahkan penampilan profesional. Lelaki pula wajar memastikan rambut, misai dan janggut sentiasa terurus. Pemilihan warna pakaian juga perlu bersesuaian supaya penampilan kelihatan kemas tanpa terlalu menonjol.
Selain pakaian, kasut, beg dan aksesori turut mencerminkan perhatian seseorang terhadap perincian. Bahasa tubuh ketika berjalan, duduk dan berkomunikasi juga penting. Postur yang baik, percakapan teratur serta senyuman ikhlas mampu mewujudkan keyakinan dan memudahkan interaksi dengan bakal majikan.
Namun begitu, ketrampilan tidak boleh dijadikan ukuran mutlak untuk menilai kebolehan seseorang. Penampilan hanyalah pelengkap kepada ilmu, kemahiran dan keperibadian. Graduan yang berkualiti ialah mereka yang mampu mengimbangi kompetensi akademik dengan imej profesional.
Institusi pengajian tinggi (IPT) juga perlu memainkan peranan melalui bengkel etiket, program pembangunan diri dan simulasi temu duga bagi menyediakan pelajar menghadapi keperluan industri.
Ketrampilan diri bukan bermaksud mengejar kesempurnaan tetapi menunjukkan kesediaan dan rasa hormat terhadap diri sendiri serta orang lain. Penampilan yang terurus mampu membuka peluang, manakala ilmu, kemahiran dan keperibadian menentukan kejayaan dalam kerjaya. -UTUSAN
DR. ANIM ZALINA AZIZAN
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)











