Shamil masak 8,000 pinggan nasi lemak setiap hari

Shamil masak 8,000 pinggan nasi lemak setiap hari

Shamil bersama isteri, Siti Aishah menunjukkan menu dan produk paling laris di restoran yang dibangunkan bersama sejak 25 tahun lalu.- SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seawal pukul 3.30 pagi, ketika kebanyakan penghuni kota masih dibuai mimpi, Datuk Sri Mohd. Shamil Ngoh Abdullah sudah memulakan harinya. Bukan sekadar memantau operasi perniagaan atau menyerahkan urusan dapur kepada pekerja, sebaliknya beliau sendiri memilih untuk berada di dapur bagi memastikan setiap hidangan disediakan mengikut cita rasa yang dipertahankannya sejak lebih dua dekad lalu.

Bagi lelaki berusia 66 tahun itu, kejayaan dalam perniagaan bukan alasan untuk berundur daripada kerja-kerja asas. Sebaliknya, semakin besar perniagaan yang dibangunkan, semakin penting baginya untuk memastikan mutu dan rasa makanan tidak berubah.
asilnya, air tangan Shamil kini menjadi pilihan ribuan pelanggan yang sanggup beratur demi menikmati nasi lemak hasil sentuhannya.

Di Village Park Restaurant, Damansara Utama, beliau bersama isteri, Datin Sri Siti Aishah Chong Abdullah, membina sebuah perniagaan yang mampu menjual kira-kira 8,000 pinggan nasi lemak sehari, malah mencecah 10,000 pinggan pada hari tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Restoran itu juga menarik lebih sejuta pelancong sepanjang tahun lalu, sekali gus membuktikan nasi lemak bukan sekadar hidangan kegemaran masyarakat tempatan, malah mampu menjadi tarikan kepada pengunjung dari seluruh dunia.

Namun, di sebalik angka yang mengagumkan itu, Shamil tidak pernah menganggap dirinya sekadar pemilik perniagaan. Beliau masih mahu menjadi individu yang bertanggungjawab terhadap rasa makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.

“Saya mahu pelanggan merasai air tangan saya sendiri. Sebab itu saya masak sendiri setiap hari.

“Saya mahu pastikan rasa nasi lemak sentiasa konsisten dan pelanggan mendapat kualiti yang sama setiap kali datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

BERMULA DENGAN SEBUAH IMPIAN

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu memulakan perjalanan perniagaannya pada 2001. Pada awalnya, beliau merancang membuka restoran berkonsepkan kopitiam seperti kebanyakan pengusaha makanan lain.

Bagaimanapun, selepas memikirkan potensi makanan tradisional tempatan, beliau mengambil keputusan untuk menjadikan nasi lemak sebagai sajian utama.

Bagi Shamil, nasi lemak mempunyai keistimewaan tersendiri dan berpotensi diperkenalkan kepada masyarakat antarabangsa, terutama pelancong yang mahu mengenali identiti makanan Malaysia.

“Ketika itu saya terfikir, mengapa tidak kita buat nasi lemak? Apabila pelancong datang ke Malaysia, mereka tentu mahu mencuba makanan tradisional kita.

“Nasi lemak mempunyai keistimewaan tersendiri dengan rasa santan, sambal pedas dan aroma yang cukup menyelerakan,” katanya.

Namun, membina perniagaan berasaskan hidangan yang cukup dekat dengan masyarakat bukanlah semudah menyediakan nasi, sambal dan lauk-pauk.

Shamil sedar, untuk menjadikan nasi lemak sebagai hidangan yang sentiasa diingati pelanggan, beliau perlu menghasilkan rasa tersendiri yang sukar ditandingi.

TIGA TAHUN MEMBENTUK RASA

Bukan sehari dua masa diperlukan untuk mendapatkan resipi yang benar-benar menepati cita rasanya. Shamil mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun melakukan percubaan sebelum berpuas hati dengan resipi nasi lemak yang dihasilkan.

Antara cabaran paling besar ialah memastikan sambal mempunyai rasa dan tahap kepedasan yang konsisten.

Menurutnya, perubahan cuaca turut mempengaruhi tahap kepedasan cili yang digunakan, sekali gus memberi kesan kepada rasa sambal.

“Sehingga Jun, cili selalunya sangat pedas. Ramai pelanggan yang mengadu sambal terlalu pedas dan mereka tidak boleh makan.

“Menjelang hujung tahun pula sebab cuaca sejuk, cili pun kurang pedas. Sambal jadi kurang kick pula. Jadi, itulah cabarannya,” katanya.

Situasi itu menuntut penelitian berterusan kerana setiap perubahan bahan mentah boleh mempengaruhi hasil masakan.

Baginya, pelanggan yang datang semula bukan sekadar mahu mengisi perut, tetapi mengharapkan rasa yang pernah mereka nikmati sebelum ini.

Kesungguhan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila nasi lemak air tangannya semakin dikenali, bukan sahaja dalam kalangan pelanggan tempatan, malah pelancong dari Eropah, tanah besar China dan Amerika Syarikat.

Malah, hidangan itu turut mendapat pengiktirafan apabila beliau meraih anugerah ‘Nasi Lemak Terbaik’ pada The Knights Award Musim Ke-5 yang berlangsung baru-baru ini.

Perkongsian mengenai nasi lemak berkenaan di media sosial turut membantu memperluas pengenalannya.

Restoran itu juga mendapat sambutan menerusi sebuah platform penghantaran makan dan pernah menjadi antara penjual nasi lemak terlaris di platform berkenaan.

Tidak ketinggalan, Shamil turut menerima kunjungan beberapa pemimpin negara termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

PERJALANAN MENGENALI ISLAM

Di sebalik perjalanan membina empayar perniagaan makanan, Shamil turut menyimpan kisah peribadi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

Berasal daripada keluarga berketurunan Cina, beliau merupakan seorang mualaf yang mula tertarik untuk mengenali Islam dengan lebih dekat selepas berkunjung ke Xinjiang, China.

Menurutnya, kunjungan ke sebuah masjid yang cukup indah di wilayah berkenaan meninggalkan kesan mendalam. Pengalaman melihat keindahan rumah ibadat itu menjadi antara titik awal yang mendorongnya mendekati Islam.

Perjalanan tersebut membuka lembaran baharu dalam kehidupannya, selain membentuk pengalaman dan pandangan yang dibawanya hingga ke hari ini.

Selepas lebih dua dekad membangunkan perniagaan, beliau melihat peluang untuk membawa cita rasa Malaysia lebih jauh menerusi penghasilan produk berasaskan makanan tempatan.

Antara perancangannya termasuk memperbanyakkan cenderamata, sambal dan produk nasi lemak segera yang boleh dibawa pulang pelancong sebagai kenangan selepas berkunjung ke Malaysia.

Baginya, usaha itu bukan semata-mata untuk mengembangkan perniagaan, tetapi membuka ruang agar lebih ramai masyarakat antarabangsa mengenali makanan warisan negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini