KOTA BHARU: Ketika kebanyakan peniaga terpaksa menaikkan harga susulan peningkatan kos bahan mentah, seorang peniaga di Jalan Mahmood di sini tetap mempertahankan harga nasi lemak pada kadar RM1 sebungkus sejak lebih tiga tahun lalu.
Adnan Che Kar, 52, berkata, harga itu bukan sekadar strategi niaga, sebaliknya ruang untuknya bersedekah sambil mencari rezeki dan membantu pelanggan mendapatkan sarapan pada harga mampu milik.
Sebanyak 400 bungkus nasi lemak disediakan setiap hari bermula pukul 7 pagi untuk dijual di tepi jalan.
Katanya, idea berniaga secara terus kepada pelanggan tercetus selepas usaha meletakkan nasi lemak di beberapa kedai sebelum ini berdepan masalah apabila sebahagian bayaran jualan tidak diterima walaupun makanan habis dijual.
“Bermula Mei 2023, saya berniaga nasi lemak dengan harga RM1 di tepi jalan ini dan mendapat sambutan pelanggan,” katanya.
Penyediaan nasi lemak dilakukan bersama isteri, Zubaidah Ismail, 51, seawal pukul 2.30 pagi dengan memasak nasi sebelum dibungkus bersama ikan bilis, telur rebus, timun dan kacang.
Dia turut menerima tempahan bagi tujuan infak daripada individu dan badan tertentu dengan tempahan biasanya untuk program gotong-royong dan kuliah agama.
Tempahan terbesar diterima adalah sebanyak 1,000 bungkus daripada Masjid Muhammadi di sini, selain beberapa masjid lain sekitar Kota Bharu.
Bagi menampung pendapatan, selain nasi lemak Adnan turut bekerja sebagai pemandu teksi perjalanan jauh ke Kuantan, Kuala Lumpur dan Johor. – UTUSAN








