SOJC: Young Tigers tempah tiket ke final, kalahkan Pakistan 3-2 - Utusan Malaysia

SOJC: Young Tigers tempah tiket ke final, kalahkan Pakistan 3-2

PEMAIN Malaysia, Panicker Naaveenesh meraikan gol jaringanya pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor ke 14 menentang Pakistan di Stadium Hoki Johor Taman Daya, Johor Bahru disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan hoki remaja kebangsaan mempamer aksi memberangsangkan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-2 menewaskan Pakistan pada aksi Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, di sini malam ini.

Kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut itu membolehkan Young Tigers menempah tiket ke pentas final buat kali pertama sejak 13 tahun lalu.

Pada minit kelima, penjaga gol Young Tigers, Adib Amsyar Mohammad Hanif bertindak cemerlang menepis pukulan sudut penalti Pakistan bagi memastikan gawang tidak dibolosi. Dua minit berselang, giliran anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin pulak dihadiahkan pukulan sudut penalti namun ia gagal disempurnakan oleh G. Dheeressh pada minit ketujuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kem hoki remaja kebangsaan gempar selepas pengadil Tianhe Ren menghadiahkan penalti stroke kepada Pakistan selepas semakan video bantuan pengadil mendapati Safwan Salihe melakukan kekasaran terhadap penyerang lawan.

Bagaimanapun, Adib Amsyar sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyelamatkan penalti stroke yang diambil Waleed Rana pada minit ke-12.

Pada suku kedua, pasukan Malaysia berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-21 setelah T. Naaveennash Paniker tenang menerima umpanan Adam Asyraf Johari dan berjaya meletakkan bola ke dalam gawang lawan. Anak buah Ayaz Mahmood cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan namun gagal menembusi benteng pertahanan pasukan tuan rumah.

Memasuki suku ketiga, Pakistan meningkatkan tempo permainan bagi memecah-belahkan benteng pertahanan lawan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36.

Pakistan yang menyerang dari sayap kiri apabila Muhammad Yahya Najeeb melakukan penetrasi ke dalam kotak D sebelum membuat umpanan kepada Adeel untuk menjaringkan gol menewaskan Adib Amsyar.

Pada minit ke-43, Adeel sekali lagi menjadi pemusnah buat Young Tigers, apabila menghukum kesilapan pemain, George Eswaran yang gagal mengeluarkan bola dari kotak D sebelum memperdayakan penjaga gol dan meletakkan bola ke gawang lawan.

Pada suku terakhir, permainan bertambah sengit dan agresif setelah kedua-dua pasukan mencari tambahan gol pada 15 minit terakhir itu. Pada minit ke-51, Pakistan bermain dengan 10 pemain selepas Rana dilayangkan kad merah setelah didapati mengasari pemain Young Tigers.

Skuad hoki remaja kebangsaan memanfaatkan peluang itu dengan melakukan serangan bertali arus dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-55 hasil gol padang Safwan.

Stadium Hoki Johor sekali lagi bergema dengan sorakan pasukan tuan rumah apabila Naaveennash Paniker menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-57 menerusi gol padang.

Terdahulu, Jepun kembali menemui rentak kemenangan setelah menewaskan China 4-1 bagi meraih tiga mata. Shogo Sasaki muncul wira Jepun setelah menjaringkan hatrik manakala satu lagi gol dihasilkan Haruki Sasaki, gol saguhati China dijaringkan oleh Li Kai pada minit ke-54.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini