Geng Suria tumpas, sembilan ahli didakwa esok

Geng Suria tumpas, sembilan ahli didakwa esok

M.KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpaskan kumpulan jenayah terancang Geng Suria yang dipercayai aktif melakukan 20 kes jenayah harta benda dan kekerasan di Kedah sejak awal 2024.

Operasi khas dikenali sebagai Op Sunset itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Kedah di kawasan Kedah dan Perak dari 24 hingga 27 September lalu.

Pengarah JSJ, CP Datuk M. Kumar berkata, kumpulan itu mempunyai sembilan ahli berusia antara 28 hingga 52 tahun dan diketuai seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kumpulan terbabit dikesan aktif melakukan 20 kes jenayah harta benda dan kekerasan termasuk rompakan berkumpulan bersenjata serta mendatangkan kecederaan sejak 2024.

“Kita menahan enam suspek berusia antara 28 hingga 39 tahun, manakala tiga lagi ahli kumpulan sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, Penjara Pokok Sena dan Penjara Sungai Petani atas kesalahan jenayah lain.

“Kesemua tangkapan kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 sehingga 25 Oktober 2026.

“Hasil semakan mendapati beberapa tangkapan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau seperti curi kenderaan, pecah rumah, dadah dan rompakan berkumpulan serta mendatangkan cedera parah dengan menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas enam telefon bimbit pelbagai jenama dan 189 biji pil ecstasy seberat 101.12 gram yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, modus operandi kumpulan itu adalah melakukan rompakan dengan menyasarkan kediaman warga asing, premis perniagaan serta rumah kediaman yang dikenal pasti ketua kumpulan.

“Semasa melakukan rompakan, ahli kumpulan menggunakan senjata berbahaya seperti pisau dan parang serta tidak teragak-agak mencederakan mangsa bagi melancarkan kegiatan jenayah mereka.

“Tindakan agresif dan keganasan yang dilakukan telah mendatangkan ketakutan serta trauma kepada mangsa, malah beberapa mangsa turut mengalami kecederaan parah,” katanya.

Menurutnya, barangan berharga hasil rompakan akan dijual untuk mendapatkan wang manakala keuntungan yang diperoleh diagihkan ketua kumpulan kepada setiap ahli berdasarkan peranan dan penglibatan masing-masing.

Ujarnya Berdasarkan laporan polis yang diterima sejak 2024, kegiatan Geng Suria mengakibatkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit selain menimbulkan ketakutan serta menggugat keselamatan mangsa.

“Kertas siasatan telah ditaklimatkan ke Jabatan Peguam Negara untuk pertuduhan terhadap ahli-ahli kumpulan jenayah terancang ini di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun,” katanya.

Tambahnya, kesemua sembilan ahli Geng Suria akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah.

“PDRM turut memberi komitmen untuk mengambil tindakan berterusan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti jenayah terancang bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini