Misi wajib menang ke atas Jepun

Misi wajib menang ke atas Jepun

AKSI skuad hoki kebangsaan menentang China dalam kempen Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-14 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, semalam. Malaysia menang 3-0. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki remaja negara tidak mempunyai pilihan selain menewaskan Jepun dalam aksi kedua Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-14 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, hari ini.

Pengendali negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, kemenangan ke atas Jepun amat penting kerana sebarang keputusan seri atau kekalahan boleh menjejaskan peluang Malaysia untuk mara ke final, terutama apabila mengambil kira perbezaan jaringan.

Bagaimanapun, Nor Saiful mengakui anak buahnya perlu memperbaiki ketajaman penyudah selepas gagal memanfaatkan banyak peluang untuk menghasilkan jaringan lebih besar, meskipun berpuas hati dengan corak dan struktur permainan yang dipamerkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, kelemahan itu bukan perkara baharu kerana masalah sama turut dikesan ketika beraksi pada Piala Hoki Remaja Asia, bulan lalu, sekali gus memerlukan perhatian serius menjelang pertembungan penting menentang Jepun.

“Kita tahu format pertandingan ini memerlukan kemenangan dan perbezaan gol yang lebih besar. Jepun menang dengan lapan jaringan (menewaskan Kanada 8-1, kelmarin), sedangkan kita hanya menjaringkan tiga gol.

“Kalau seri, berkemungkinan kita tersingkir kerana perbezaan gol mereka lebih baik. Jadi, kalau mahu ke final, perlawanan menentang Jepun mesti menang,” katanya.

Kelmarin, Malaysia membuka kempen dengan langkah kanan apabila menewaskan China 3-0 menerusi dua gol pukulan sudut penalti oleh Nabil Irfan Mohd Yusof pada minit kelima dan ke-28 sebelum Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill melengkapkan kemenangan menerusi gol padang pada minit ke-57.

Dalam pada itu, Nor Saiful turut mengingatkan pemain supaya mengekalkan disiplin dan struktur permainan ketika berdepan Jepun yang disifatkannya sebagai pasukan lebih matang dengan corak permainan lebih tersusun.

“Kita sudah melihat aksi mereka. Pasukan Jepun kali ini bukanlah skuad yang sama di Piala Hoki Remaja Asia, mereka membawa pasukan baharu. Kebanyakan pemain mereka bawah umur 23 tahun, lebih matang dan lebih bagus. Struktur permainan mereka kelihatan lebih kemas.

“Kita tidak boleh hilang disiplin struktur permainan kita dan mesti sentiasa berada di kedudukan yang betul agar bola tidak mudah menembusi kawasan ‘D’ kita. Kita mahu cuba menghalang seberapa banyak percubaan mereka dan memastikan bola lebih banyak berada di Kawasan lawan. Yang penting, kita wajib menang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini