Jentera berat buang rasau di Tasik Bera cetus beza pendapat

Jentera berat buang rasau di Tasik Bera cetus beza pendapat

JENTERA berat digunakan bagi membuang pokok rasau yang menyebabkan Tasik Bera di Bera, Pahang semakin mengecil dan lubuk semakin cetek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Penggunaan jentera berat bagi mengeluarkan pokok rasau yang semakin membiak di Tasik Bera di sini, mencuri perhatian selepas rakaman kerja itu tular dalam media sosial, sekali gus mencetuskan perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat Orang Asli setempat.

Batin Norya Asbas dari Pos Iskandar berkata, usaha mengeluarkan tumbuhan itu mampu membantu mengembalikan keluasan asal lubuk yang semakin mengecil apabila pokok rasau merebak dan menutupi permukaan air.

Katanya, pertumbuhan pokok rasau tidak terkawal menyebabkan kawasan perairan terbuka semakin sempit yang menjadikan usaha mengawalnya pen­ting bagi mengekalkan keluasan lubuk di tasik berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pokok rasau ini semakin banyak dan merebak sehingga menutupi permukaan air. Apabila kawasan itu semakin tertutup, kawasan air yang luas menjadi sempit. Jadi, usaha me­ngeluarkannya boleh membantu mengembalikan keluasan lubuk seperti saiz asal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Norya berkata, kaedah penggunaan jentera berat itu berbeza dengan pendekatan tradisional yang digunakan sebelum ini, ia­itu menebang pokok rasau sebelum dibiarkan kering dan dibakar.

Bagaimanapun, dia berharap tumbuhan yang dikeluarkan itu diuruskan dengan baik termasuk memastikan bahan ber­kenaan tidak menjejaskan kawasan perairan lain.

Sementara itu, Batin Moha­mad Nohin dari Kampung Orang Asli Limbahan pula kurang bersetuju sekiranya kerja mengorek atau mengeluarkan tumbuhan di tasik itu dilakukan tanpa mengambil kira kesannya terhadap persekitaran.

Menurutnya, walaupun per­tumbuhan pokok rasau yang tidak terkawal boleh menye­babkan kawasan air semakin mengecil, kaedah mengawalnya perlu diteliti bagi mengelakkan masalah lain.

“Kalau ikutkan, saya kurang bersetuju jika kerja mengorek dilakukan begitu sahaja kerana bimbang keadaan kawasan itu terjejas. Namun, jika pokok rasau tidak dikeluarkan, tumbuhan itu terus bertambah dan merebak. Jadi, kita perlu melihat bagaimana keadaan dan kesannya,” katanya.

Beliau berkata, jentera berat yang digunakan bagi mengeluarkan pokok rasau itu dilihat berada di kawasan berkenaan sejak hampir sebulan lalu.

Mohamad turut menyuarakan kebimbangan kemungkinan pencemaran jika kerja berkenaan tidak dilaksanakan dengan cermat.

Difahamkan, kerja-kerja pembersihan Tasik Bera dipertanggungjawabkan kepada agensi kerajaan berkaitan manakala sebuah syarikat dari Johor dikatakan memperoleh tender untuk melaksanakan kerja berkenaan.

Bagaimanapun, maklumat tentang agensi yang bertanggungjawab, syarikat pelaksana serta skop sebenar tender itu masih memerlukan pengesahan pihak berkuasa.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini