BERA: Lima individu terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita ditahan selepas dipercayai menghalang pasukan penguatkuasa menjalankan tugas dalam operasi di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera (Ramsar) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, kesemua individu berkenaan ditahan kerana bertindak menghalang pihak penguat kuasa daripada menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan itu dijalankan kira-kira pukul 10 pagi oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Ketika operasi sedang dijalankan, sekumpulan individu dipercayai Orang Asli telah mendirikan halangan dan membuat provokasi terhadap pasukan penguat kuasa daripada menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zulkiflee berkata, lima individu terbabit ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Operasi tersebut dijalankan bagi tujuan penguatkuasaan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 di kawasan Ramsar.
Dalam pada itu, Zulkiflee menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak sahih atau sebarang maklumat yang salah sehingga boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu ketenteraman awam. – UTUSAN










