KUALA LUMPUR: Juara bertahan dari Jepun, Miyu Yamashita mengukuhkan statusnya sebagai pencabar utama kejuaraan apabila merampas kedudukan pendahulu selepas mencatatkan enam di bawah par 66 pada pusingan kedua Kejohanan Golf Maybank LPGA 2026 di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), hari ini.
Prestasi cemerlang itu menyaksikan Miyu tersebut mengumpul keseluruhan 13 di bawah par 131 untuk membuka kelebihan dua pukulan ke atas pencabar terdekat, Julia Lopez Ramirez sekali gus meletakkan dirinya dalam kedudukan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan.
Miyu berkata, konsistensi pukulan serta keupayaannya melakukan banyak peluang birdie menjadi faktor utama yang membantunya mencatatkan keputusan memberangsangkan pada pusingan kedua.
“Permainan pukulan saya agak konsisten dan stabil hari ini. Saya berjaya menghasilkan banyak peluang birdie.
“Saya rasa itulah antara faktor membolehkan saya mencatatkan enam pukulan di bawah par,” katanya selepas tamat permainan pusingan kedua.
Menurut pemain berusia 25 tahun itu, tahap permainannya juga semakin meningkat berbanding musim lalu, terutama daripada segi kecergasan dan keseimbangan hayunan yang membolehkannya menghadapi kejohanan dengan lebih bersedia.
Keadaan itu memberi keyakinan tambahan kepada Miyu untuk mengekalkan rentak konsisten ketika berdepan cabaran di KLGCC, yang terkenal dengan fairway sempit serta permukaan lapangan berbukit dan beralun.
Sementara itu, pendahulu pusingan pertama dari Perancis, Pauline Roussin-Bouchard terpaksa melepaskan kedudukan teratas selepas mencatatkan tiga di bawah par 69 pada pusingan kedua.
Pauline kini berkongsi kedudukan kedua dengan pemain Sepanyol, Julia Lopez Ramirez yang menghasilkan enam di bawah par 66, dengan kedua-duanya mengumpul keseluruhan 11 di bawah par 133.-UTUSAN











