Penugasan Mohd Shuhaily di PDRM belum ditentukan – KPN - Utusan Malaysia

Penugasan Mohd Shuhaily di PDRM belum ditentukan – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Penugasan baharu Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain selepas dikembalikan ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum ditentukan, susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menamatkan penempatannya sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya masih menunggu nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) yang akan mengemukakan surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung urusan berkenaan.

Katanya, Mohd Shuhaily merupakan pegawai kader yang dilantik mengetuai AKPS oleh Seri Paduka Baginda, justeru sebarang keputusan memendekkan tempoh pelantikannya perlu mendapat perkenan diraja terlebih dahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga perkenan itu diberikan, saya masih menunggu. Jadi, saya tidak dapat memastikan keputusan selanjutnya.

“Sudah pasti beliau akan kembali kepada PDRM kerana beliau merupakan seorang pegawai polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang Persatuan Bekas Polis Malaysia di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Mengulas sama ada Mohd Shuhaily masih menjalankan tugas ketika ini, Mohd Khalid berkata, perkara itu belum diputuskan dan sebarang tindakan susulan hanya akan diteliti selepas pegawai berkenaan kembali secara rasmi ke PDRM.

Katanya, penempatan serta tindakan seterusnya perlu mengambil kira peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Apabila beliau kembali kepada saya, barulah kita melihat apakah tindakan selanjutnya yang boleh diambil berdasarkan SPA.

“Kita ini kakitangan kerajaan, semuanya tertakluk kepada SPA dan juga SPP,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan KDN memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily kepada PDRM dalam keputusan yang dibuat minggu lalu.

Beliau berkata, penugasan pegawai kanan polis itu selepas kembali ke pasukan berkenaan akan ditentukan oleh PDRM.

Mohd Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini