KUALA NERUS: Kecemerlangan akademik disusuli penglibatan aktif dalam kokurikulum dan kepemimpinan mahasiswa melayakkan dua graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Julia El Myra Johan dan Cindy Lim Hui Ling menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena istiadat konvokesyen universiti itu kali ke-24, tahun ini.
Julia El Myra, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi Maritim dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Maritim (FPM) menerima anugerah bagi kategori bumiputera manakala Cindy Lim, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Akuakultur dengan Kepujian dari Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA), bagi kategori bukan bumiputera.
Kedua-duanya menerima Pingat Jaya Cemerlang bersadur emas, wang tunai RM7,500 setiap seorang dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka sepanjang pengajian.
Julia El Myra yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, penglibatannya dalam pelbagai aktiviti sukan, kepemimpinan mahasiswa dan program mobiliti antarabangsa sepanjang tiga tahun di UMT banyak membentuk keyakinan diri serta kemahiran kepemimpinannya.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, antara pencapaian yang paling bermakna adalah mewakili pasukan bola jaring sehingga ke Kejohanan Bola Jaring Remaja Kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.
Selain aktif dalam sukan, dia memegang jawatan Presiden Kelab Operasi Maritim selain menyertai program mobiliti antarabangsa di Universitas Airlangga, Indonesia pada 2024.
Menurutnya, peluang mengikuti program pertukaran pelajar selama seminggu itu memberikan pengalaman baharu dalam memperluas pengetahuan dan membina jaringan bersama mahasiswa dari luar negara.
“Bagi saya, kejayaan ini bukan datang daripada usaha sendiri semata-mata sebaliknya hasil doa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak pernah putus sepanjang perjalanan saya menuntut ilmu.
“Anugerah ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk mereka yang sentiasa menyokong dan memberikan semangat sehingga saya berjaya sampai ke tahap ini,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini.
Julia El Myra yang kini bekerja sebagai eksekutif bersekutu logistik di sebuah syarikat multinasional di Kuala Lumpur berkata, dia sedang menyambung pengajian secara separuh masa di peringkat sarjana penyelidikan dalam bidang maritim di UMT.
Dia berharap dapat menamatkan pengajian sarjana dalam tempoh dua tahun sebelum mempertimbang hasrat melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).
“Saya menyimpan impian untuk bergelar pensyarah dalam bidang maritim pada masa depan sekali gus menyumbang kepada pembangunan ilmu dan melahirkan lebih ramai graduan berkualiti.
“Sebagai mahasiswa, kita perlu percaya kepada kemampuan diri sendiri. Jika kita meminati sesuatu bidang, rebutlah peluang yang ada dan lakukan yang terbaik untuk mencapai matlamat,” katanya.
Sementara itu, Cindy Lim yang berasal dari Kuching, Sarawak, berkata, dia tidak menyangka dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja bagi kategori bukan bumiputera.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, kejayaan berkenaan amat bermakna buat dirinya lebih-lebih lagi apabila berpeluang mengikuti jejak dua kakaknya yang pernah melanjutkan pengajian di UMT.
Sepanjang pengajian, Cindy bukan sahaja memberikan tumpuan kepada bidang akuakultur malah aktif dalam kepemimpinan mahasiswa dan sukan.
Dia pernah memegang jawatan eksekutif akademik dalam Jawatankuasa Perwakilan Kediaman, Setiausaha Majlis Sukan Pelajar serta Presiden Kelab Renang.
Minatnya dalam sukan renang turut mendorongnya menyertai pertandingan renang perairan terbuka selain berjaya berada dalam kelompok 20 peserta terbaik.
Selain itu, Cindy menyertai beberapa program dan delegasi antarabangsa yang membawanya ke Indonesia, Jepun, Thailand dan Taiwa sekali gus memberikan pendedahan lebih luas di luar persekitaran kampus.
Menurutnya, pemilihan sebagai penerima anugerah berprestij itu membuatkan dia gembira, bangga dan terharu kerana tidak pernah menjangkakan pencapaian berkenaan.
“Saya benar-benar tidak menyangka menerima anugerah ini. Apabila dimaklumkan mengenai pemilihan tersebut, saya berasa sangat gembira dan terharu kerana usaha sepanjang pengajian mendapat pengiktirafan,” katanya.
Cindy Lim berkata, dia kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana selama dua tahun di National Taiwan Ocean University, Taiwan, menerusi biasiswa Taiwan International Cooperation and Development Fund (TaiwanICDF).-UTUSAN











