JOHOR BAHRU: Pasukan hoki remaja kebangsaan membuka langkah kanan selepas menewaskan China 3-0 dalam perlawanan pertama Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, di sini malam tadi.
Pasukan kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin hampir membuka jaringan seawal minit keempat namun pukulan dilakukan Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien sedikit tersasar.
Namun seminit berselang, kapten pasukan Nabil Irfan Mohd. Yusof meletakkan pasukan remaja kebangsaan di hadapan setelah menyempurnakan pukulan sudut penalti menewaskan penjaga gol China, Zhang Zhiyuan.
Pada awal suku kedua, Young Tigers dihadiahkan penalti stroke oleh pengadil Salim Lucky setelah Rahuul Fazrien dikasari dalam kotak D. Bagaimanapun, pukulan penalti stroke yang diambil oleh Safwan Salihe diselamatkan oleh penjaga gawang, Liang Jinglang pada minit ke-16.
Pasukan kendalian Cui Yongxin turut berupaya melancarkan dua serangan berbahaya ke kubu Young Tigers namun tiada sentuhan penyudah yang jitu menyaksikan benteng pasukan tuan rumah kekal utuh.
Pada minit ke-28, skuad hoki remaja kebangsaan terus melebarkan kedudukan apabila Nabil Irfan sekali lagi menyudahkan pukulan sudut penalti yang diambil Gagandeep Singh Aphtrar Singh untuk menewaskan Jinglang menjadikan kedudukan 2-0.
Memasuki suku ketiga, Young Tigers yang selesa dengan kelebihan dua jaringan mempamer aksi lebih bertenaga dengan menghasilkan beberapa serangan ke kubu China bagi memburu tambahan jaringan.
Peluang terbaik hadir pada minit ke-40 menerusi percubaan Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill namun Zhiyuan melayangkan badan menepis bola tersebut. Ketika perlawanan berbaki lima minit, pasukan tuan rumah menambah jaringan setelah hantaran Shelston Silverius dibiaskan Aferull Syah melepasi hadangan Zhiyuan pada minit ke-57.
Dalam perlawanan terdahulu, kejayaan Pakistan menewaskan Kanada 6-2 membolehkan pasukan melonjak ke posisi tangga teratas.
Pakistan selesa di hadapan menerusi jaringan Fayyaz Hamzah menerusi pukulan sudut penalti pada minit kesembilan diikuti dua gol padang oleh Ali Hamzah (minit ke-14) dan Abdul Rana Sami (minit ke-25).
Pasukan kendalian Koen Bakhuis merapatkan jurang selepas Gurnoor Bhullar menjaringkan gol padang pada minit ke-30. Pada suku ketiga, kedua-dua pasukan masing-masing menambah satu gol padang, gol Pakistan dihasilkan Waleed Rana pada minit ke-38 manakala gol Kanada dijaringkan Abiram Yogeshwaran pada minit ke-45.
Pada suku keempat, Haider Asam menambah derita buat pasukan Kanada setelah menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 dan Adeel melengkapkan kemenangan bergaya buat setelah menjaringkan gol padang pada minit ke-54.-UTUSAN











