SOJC: Young Tigers bangkit tewaskan Jepun 4-2 - Utusan Malaysia

SOJC: Young Tigers bangkit tewaskan Jepun 4-2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan hoki remaja kebangsaan meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Jepun 4-2 dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, di sini malam tadi.

Pada suku pertama, Young Tigers mempamer aksi bertenaga dan memberi tekanan kepada pasukan lawan untuk memburu gol pembukaan. Peluang terbaik skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin hadir pada minit kelima menerusi pukulan sudut penalti namun peluang tersebut gagal disudahkan dengan baik oleh G. Dheeressh.

Malaysia yang melancarkan serangan di sayap kiri berjaya melakukan penetrasi ke dalam kotak D namun dua peluang yang dihasilkan pada penghujung suku pertama itu tidak berjaya disempurnakan oleh Faiz Afzan Mohd. Faizal dan Harieq Hadief Mohd. Fariq.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketumpulan penyudah pukulan sudut penalti terus membelenggu pasukan hoki remaja kebangsaan setelah mensia-siakan peluang tersebut pada minit ke-18. Kegagalan tersebut dimanfaatkan pasukan tuan rumah yang melakukan serangan balas dan berjaya memecahkan kebuntuan menerusi gol padang Matsuki Mori pada minit ke-19.

Jepun hampir menambah jaringan pada minit ke-25 menerusi Tatsuaki Yasui namun pukulan pemain tengah itu sedikit tersasar melewati palang gol.

Disiplin yang dipamerkan Young Tigers mengkucar-kacirkan pertahanan lawan berjaya membuahkan hasil setelah dihadiahkan penalti stroke setelah Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill dijatuhkan penjaga gol, Kazato Baba.

Hafiezuddin Mohd. Ali tidak berdepan tugas sukar menyudahkan penalti stroke itu menewaskan Baba bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-27.

Young Tigers yang mempamerkan corak permainan bertahan pada suku ketiga memakan diri setelah serangan bertali arus Jepun membuahkan hasil setelah pukulan dilakukan Ryosuke Shinohara dikuis masuk Rintaro Sakai ke gawang Malaysia pada minit ke-42.

Pada suku keempat, skuad hoki remaja kebangsaan berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Gagandeep Singh Aphtrar Singh pada minit ke-49 namun jaringan tersebut dibatalkan disebabkan ‘dangerous play’.

Pada minit ke-51, Stadium Hoki Johor riuh dengan sorakan penonton setelah pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang, Aferull Syah yang gagal dihadang Baba.

Venue SOJC edisi-14 itu terus bergema setelah Young Tigers menambah jaringan pada minit ke-55 menerusi gol padang T. Naaveennash Paniker.

Momentum serangan itu digunakan skuad kendalian Nor Saiful apabila terus menghambat pasukan Jepun, hasil Malaysia melebarkan kedudukan seminit kemudian menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-56 dan keputusan kekal ke wisel penamat.

Dalam perlawanan terdahulu, Kanada meraih kemenangan pertama selepas menewaskan China 3-2 hasil dua jaringan Navdip Chandi seawal minit kedua dan minit ke-15, membatalkan gol pendahuluan Li Kai pada minit pertama untuk China.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini