Jangan lambat ‘panas’ ketika berdepan India

Jangan lambat ‘panas’ ketika berdepan India

AKSI pemain skuad kebangsaan menentang Thailand di Bhopal, India, kelmarin. - IHSAN AHF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ledakan empat gol dalam tempoh lima minit terakhir ketika membelasah Thailand 4-0 mungkin memberikan suntikan keyakinan kepada Speedy Tigress, namun corak permainan yang terlalu lambat panas perlu dielakkan apabila berdepan juara bertahan, India, pada separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026, malam ini.

Skuad kendalian CR Kumar menempah tiket ke kelompok empat terbaik selepas menundukkan Thailand dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Bhopal, kelmarin, tetapi kemenangan itu turut memperlihatkan betapa pasukan negara mengambil masa untuk benar-benar menghidupkan jentera serangan.

Empat gol padang yang hadir pada penghujung perlawanan menyaksikan Nuramirah Syakirah Zulkifli meledak dua jaringan pada minit ke-55 dan 60, manakala Nur Afiqah Syahzani Azhar turut menyumbang dua gol pada minit ke-56 dan 60.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kumar mengakui gembira dengan persembahan pemain terutama pada 10 minit terakhir, namun mengingatkan anak buahnya bahawa pendekatan agresif itu sepatutnya diterapkan lebih awal bagi memastikan pasukan tidak terlalu bergantung kepada ledakan di penghujung aksi.

“Jika bermain dengan corak agresif yang sama sejak awal perlawanan, mereka mampu melakukan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Amaran itu cukup relevan menjelang pertemuan dengan India kerana Malaysia tidak boleh mengharapkan ruang dan peluang yang sama seperti ketika menentang Thailand, apatah lagi berdepan pasukan yang hadir selaku juara bertahan.

Kemenangan besar ke atas Thailand menjadi modal penting, tetapi cabaran sebenar buat skuad negara adalah membuktikan mereka mampu mengekalkan intensiti permainan sepanjang 60 minit, bukan hanya ketika perlawanan menghampiri penghujungnya.

Malaysia pernah meraih tempat ketiga pada edisi ACT 2013 di Kakamigahara, Jepun, yang kekal sebagai pencapaian terbaik negara dalam kejohanan berkenaan, dan peluang ke final kali ini menuntut lebih daripada sekadar kebangkitan lewat permainan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini