Jiggy, Dhabitah timang cahaya mata sulung - Utusan Malaysia

Jiggy, Dhabitah timang cahaya mata sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun menanti, pelawak dan pengacara, Jiggy Masin dan isteri, Dhabitah Sabri menimang cahaya mata sulung pada 24 November lalu.

Jiggy atau nama sebenarnya, Mohamad Aizat Ahmad Nazri,36, berkata, kelahiran cahaya mata sulung itu menjadi antara detik paling bermakna dalam hidupnya, lebih-lebih lagi apabila dia tidak pernah menyangka akan dikurniakan rezeki bergelar bapa pada usia sekarang.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana akhirnya, selepas tiga tahun menanti, Allah SWT memberikan rezeki untuk saya menjadi seorang ayah. Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir akan sampai ke fasa ini, apatah lagi pada usia sekarang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila bayi selamat dilahirkan, perasaan itu sukar digambarkan. Saya teruja, gembira dan dalam masa sama masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Saya bersyukur kerana semuanya dipermudahkan dan isteri serta anak berada dalam keadaan selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berkongsi lanjut, Jiggy berkata, sewaktu kelahiran, doktor memaklumkan terdapat kemungkinan bayi mengalami komplikasi apabila tali pusat berisiko menyebabkan kelahirannya tidak dapat berlangsung seperti dirancang.

“Pada awalnya, kami menjangkakan kelahiran secara normal. Namun, apabila doktor memaklumkan terdapat kemungkinan bayi mengalami komplikasi melibatkan tali pusat, mereka mencadangkan pembedahan kecemasan.

“Sudah tentu ketika itu saya berasa risau, tetapi kami percaya kepada doktor dan keputusan yang terbaik untuk keselamatan isteri serta anak. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan saya sangat lega apabila melihat anak dilahirkan dengan selamat pada pukul 4.33 petang, Selasa lalu,” katanya.

Mengulas perasaannya selepas bergelar bapa, Jiggy mengakui dia kini berdepan pelbagai emosi.

“Perasaan menjadi ayah memang sangat mengujakan, tetapi dalam masa sama ada juga perasaan bercampur-baur. Bagi saya, semua itu merupakan proses yang perlu saya pelajari. Saya mungkin belum mengetahui semuanya sekarang, tetapi saya mahu belajar menjadi ayah yang terbaik untuk anak saya.

“Menjadi seorang bapa bukan sekadar menyediakan keperluan, tetapi juga hadir dalam kehidupan anak, memahami dirinya dan membimbingnya sepanjang membesar,” katanya.

Dalam pada itu, Jiggy memaklumkan nama bayi lelaki mereka masih belum dikongsikan kepada umum, namun berjanji akan memperkenalkannya kepada peminat apabila tiba waktunya.

“Buat masa ini, nama anak kami belum dikongsikan. Insya-Allah, apabila tiba waktunya, kami akan berkongsi nama dan mungkin lebih banyak cerita mengenai anak kami.

“Sekarang, saya mahu menikmati dahulu pengalaman menjadi seorang ayah. Ini merupakan pengalaman baharu yang sangat berharga dan saya tidak mahu terlepas setiap detik bersama anak,” katanya.

Jiggy dan Dhabitah berkahwin pada 28 April 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini