Kemudahan kredit dalam talian penyelamat atau perangkap?

Kemudahan kredit dalam talian penyelamat atau perangkap?

KREDIT dalam talian membantu jika digunakan secara bijak tetapi membebankan jika disalahgunakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN pesat teknologi mengubah landskap kewangan, khususnya dalam urusan mendapatkan kemudahan kredit atau pinjaman peribadi.

Jika dahulu permohonan perlu dilakukan di bank dengan mengisi pelbagai borang dan menunggu kelulusan, kini semuanya boleh diselesaikan secara dalam talian. Hanya melalui beberapa sentuhan pada telefon pintar, pengguna berpeluang mendapatkan kemudahan kewangan tanpa perlu meninggalkan rumah.

Kemunculan perkhidmatan seperti Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL), pinjaman peribadi dalam talian dan pelbagai bentuk kredit digital menjadikan akses kepada pembiayaan semakin mudah dan pantas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemudahan ini sememangnya membantu, terutama bagi individu yang berhadapan keperluan kewangan mendesak. Namun, kemudahan tersebut turut membawa risiko apabila pengguna mula menganggap pinjaman sebagai jalan mudah untuk memenuhi pelbagai kehendak.

Apabila proses mendapatkan kredit terlalu mudah, seseorang mungkin kurang berhati-hati sebelum membuat keputusan berhutang. Jika dahulu permohonan pinjaman memerlukan pertimbangan yang panjang, kini keputusan boleh dibuat dalam beberapa minit sahaja.

Sikap mengambil dahulu dan memikirkan bayaran kemudian boleh menyebabkan seseorang terperangkap dalam komitmen kewangan yang sukar ditanggung.

Kredit dalam talian sebenarnya boleh menjadi penyelamat sekiranya digunakan untuk keperluan penting atau menghadapi kecemasan. Sebaliknya, penggunaannya bagi membiayai gaya hidup di luar kemampuan hanya akan menambahkan tekanan kewangan.

Pembelian barangan yang tidak diperlukan, perbelanjaan hiburan dan keinginan mengikuti gaya hidup orang lain boleh mendorong seseorang membuat pinjaman berulang kali.

Perkara paling penting ialah memahami kemampuan membayar balik sebelum menerima sebarang tawaran kredit. Pengguna bukan sahaja perlu melihat jumlah pinjaman yang diluluskan, malah mesti meneliti kadar faedah atau keuntungan, tempoh pembayaran, caj tambahan serta jumlah keseluruhan yang perlu dijelaskan.

Bayaran ansuran yang kelihatan kecil mungkin menjadi beban apabila digabungkan dengan komitmen bulanan lain.

Hakikatnya, kelayakan mendapat pinjaman tidak semestinya membuktikan seseorang mempunyai kemampuan untuk menanggung hutang tersebut. Oleh itu, penilaian terhadap pendapatan, perbelanjaan tetap dan kedudukan kewangan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Tanpa perancangan yang teliti, kemudahan yang pada awalnya bertujuan membantu boleh menjejaskan kestabilan kewangan dalam jangka panjang.

Selain itu, pengguna perlu meningkatkan literasi kewangan supaya lebih memahami tanggungjawab yang datang bersama setiap kemudahan kredit. Mereka juga perlu membaca terma dan syarat sebelum bersetuju dengan sesuatu tawaran, termasuk memastikan penyedia perkhidmatan mempunyai kelulusan yang sewajarnya. Sikap berhati-hati penting bagi mengelakkan pengguna terdedah kepada penipuan serta tawaran pinjaman yang membebankan.

Teknologi sepatutnya membantu meningkatkan kesejahteraan hidup, bukannya mendorong masyarakat bergantung kepada hutang. Kemudahan kredit perlu dianggap sebagai instrumen kewangan untuk memenuhi keperluan tertentu, bukan sumber pendapatan tambahan yang boleh digunakan sesuka hati.

Disiplin mengurus wang, mengawal perbelanjaan dan membezakan keperluan daripada kehendak perlu menjadi amalan setiap individu.

Kredit dalam talian boleh memberikan manfaat sekiranya digunakan secara berhemah dan mengikut kemampuan. Namun, tanpa kawalan diri serta perancangan kewangan, kemudahan tersebut mudah bertukar menjadi perangkap hutang.

Jangan sampai kemudahan yang bertujuan memudahkan kehidupan hari ini menjadi beban yang menghantui kewangan pada masa hadapan. –UTUSAN

PROF. MADYA DR. NORHAFIZA NORDIN dan DR. ZUNARNI KOSIM
Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini