Aaron enggan dibayangi Kevin Sanjaya

Aaron enggan dibayangi Kevin Sanjaya

AARON Tai bersama Yap Roy King ketika menjuarai Kumamoto Masters di Jepun, baru-baru ini. - IHSAN BWF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbandingan dengan legenda beregu Indonesia, Kevin Sanjaya Sukamuljo mungkin satu pujian buat Aaron Tai, namun beliau memilih untuk melihatnya sebagai motivasi memperbaiki diri daripada terbuai dengan gelaran yang diberikan peminat.

Aaron yang semakin mendapat perhatian selepas bergandingan dengan Yap Roy King dan memenangi Terbuka Arctic serta Kumamoto Masters dalam enam kejohanan pertama mereka, mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki sebelum mampu berada pada tahap pemain elit dunia.

“Saya sangat gembira apabila orang berkata begitu, tetapi saya masih mempunyai banyak kelemahan dan banyak lagi yang perlu dipelajari,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbandingan dengan Kevin yang terkenal dengan refleks pantas serta corak permainan menyerang mula timbul selepas Roy King menggelarkan pasangannya sebagai ‘Kevin Sanjaya Malaysia’ ketika mereka menjuarai Kumamoto Masters, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Aaron yang berusia 20 tahun tidak begitu mengikuti perkembangan dirinya di media sosial, malah tidak mengetahui video-video mengenai aksinya mula tersebar dan menjadi perhatian peminat.

“Saya langsung tidak tahu mengenai video-video di media sosial itu kerana jarang menggunakannya, biasanya saya hanya bermain permainan video.

“Saya bermain pelbagai jenis permainan dan rakan sebilik saya, Wong Vin Sean, kadangkala turut bermain bersama,” katanya.

Aaron percaya setiap pemain yang pernah digandingkan dengannya mempunyai kelebihan tersendiri, sekali gus memberikan pengalaman berbeza yang membantu perkembangan permainannya sepanjang karier.

Pemain kelahiran Melaka itu pernah menjuarai Kejohanan Dunia Remaja 2024 bersama Kang Khai Xing sebelum mencapai ranking ke-18 dunia, kemudian melalui gandingan singkat bersama Aaron Chia dan kini membentuk pasangan tetap dengan Roy King.

“Saya rasa setiap pemain mempunyai kekuatan masing-masing dan bermain dengan seseorang terasa berbeza berbanding pemain lain kerana setiap mereka mempunyai gaya tersendiri.

“Saya banyak belajar, terutama mengenai sikap serta komitmen mereka ketika berada di gelanggang,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini