PETALING JAYA: Kejayaan Bojan Hodak meraih pelbagai pencapaian sepanjang karier kejurulatihannya menjadi antara faktor yang meyakinkan Safee Sali bahawa jurulatih dari Croatia itu mampu membawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik.
Hodak memiliki rekod tersendiri bukan sahaja dalam saingan domestik Liga Malaysia (Liga M), malah turut mencipta kejayaan di pentas Asia apabila membawa Kuala Lumpur City ke final Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2022.
Pencapaian bersama KL City itu membuktikan kemampuan Hodak mengangkat pasukan yang tidak dianggap sebagai pilihan untuk bersaing dengan kelab-kelab terbaik di benua berkenaan.
Safee yang pernah merasai pendekatan kejurulatihan Hodak ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City, menyifatkan pemilihan bekas pengendali itu untuk membimbing skuad kebangsaan sebagai langkah positif.
“Beliau amat sesuai untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan. Saya menyokong pelantikan ini dan melihatnya sebagai satu perkembangan yang baik untuk memperkuatkan Harimau Malaya.
“Saya pernah mendapat sentuhan beliau ketika bersama JDT dan KL City. Jadi, saya percaya pengalaman serta kemampuan yang dimiliki Hodak boleh membantu meningkatkan kekuatan pasukan kebangsaan.
“Saya berharap kehadiran beliau mampu membawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik dan menjadikan pasukan negara lebih kompetitif,” katanya.
Kepercayaan Safee terhadap Hodak turut bersandarkan pengalaman jurulatih itu mengendalikan pemain pada pelbagai peringkat, termasuk kejayaan bersama skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara.
Hodak pernah membantu skuad B-19 negara merangkul kejuaraan Kejuaraan B-19 AFF 2018, sekali gus menambah rekod kejayaannya dalam arena bola sepak tanah air. – UTUSAN











