PENDIDIKAN merupakan bidang yang sentiasa diberikan perhatian oleh Kerajaan Persekutuan. Sifirnya mudah iaitu pendidikan yang berkualiti adalah misi memandaikan bangsa.
Kerana itu kita melihat sejak pembentukan bangsa Malaysia, belanjawan negara setiap tahun terus menjadi tumpuan, khususnya dalam menentukan peruntukan yang disalurkan kepada sektor pendidikan.
Kendatipun, belanjawan berkisar pendidikan melebihi keseronokan angka peruntukan. Ini kerana bidang pendidikan menghendaki pembaharuan didukung peruntukan kewangan yang memungkinkannya berlaku.
Hasilnya pendidikan yang adil, sejahtera dan berkualiti akan meningkatkan kualiti modal insan negara.
2027 juga adalah tahun yang signifikan kepada pendidikan negara. Ini kerana terdapatnya kurikulum baharu bagi murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 serta pendidikan wajib pendidikan menengah sehingga ke Tingkatan 5.
Lantaran itu, ibu bapa dan pemegang taruh pendidikan negara semestinya tertarik dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM68.99 bilion yang meliputi penambahan RM2.79 bilion berbanding belanjawan tahun lalu.
Angka ini besar dan menunjukkan pendidikan masih menjadi komponen utama perbelanjaan negara. Persoalannya, adakah wang itu benar-benar mengubah pengalaman seorang murid di dalam kelas, meringankan beban seorang guru dan memperbaiki peluang hidup anak-anak yang lahir dalam keluarga kurang berkemampuan?
Apabila kerajaan mengumumkan pilihan kemasukan ke sekolah rendah bagi murid berusia enam tahun serta pelaksanaan pendidikan wajib di peringkat menengah, tumpuan turut terarah kepada kesediaan kemudahan dan sumber manusia untuk menyokong pelaksanaan dasar berkenaan.
Isu infrastruktur misalnya bukan hanya melibatkan sekolah daif tetapi juga melibatkan isu sekolah yang makin padat di kawasan-kawasan bandar.
Implikasi masalah sekolah padat ini bukan sahaja kepada keselesaan tetapi proses pembelajaran dan pengajaran yang efektif dan berkesan kepada murid di sekolah rendah. Pendidikan di sekolah rendah adalah asas adalah penting untuk menjadikan murid-murid menguasai Kemahiran 3M (membaca, mengira dan menulis).
Penambahan kelas-kelas tambahan mungkin menyelesaikan seketika isu kepadatan sekolah kebangsaan tetapi semestinya perlu diimbangkan dengan beban guru yang perlu berhadapan dengan peningkatan bilangan murid yang signifikan.
Ini juga menyebabkan banyak dari kalangan ibu bapa terpaksa memilih menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah persendirian bagi pelajar sekolah rendah. Ini kerana tuntutan untuk mendapat pendidikan asas itu menjadi kepentingan walaupun kos tinggi.
Isu ini bukan perkara baharu. Kegagalan merancang pembangunan perbandaran dengan mengambil kira unjuran jumlah murid dan keperluan sekolah akhirnya menjejaskan murid di kawasan berkenaan.
Pengumuman peningkatan peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan sekolah daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion semestinya suatu yang baik dan perlu tetapi tidak menjawab secara tuntas isu kesukaran dalam pendidikan yang membelenggu persekitaran pendidikan.
Hakikat yang perlu dihadapi adalah kita tidak boleh bercakap tentang kecemerlangan akademik jika sebahagian murid masih belajar dalam bangunan yang rosak, tandas yang tidak sempurna, kemudahan yang tidak selamat atau persekitaran yang tidak sesuai untuk proses pembelajaran. Infrastruktur sekolah bukan sekadar projek fizikal, sebaliknya berkait secara langsung dengan maruah, keselamatan dan peluang pendidikan.
Isu sekolah daif juga tiada penghujungnya. Seolah-olah menjadi badi kepada sistem pendidikan negara. Peruntukkan untuk membaiki 682 buah sekolah daif untuk perlu disertai mekanisme pemantauan jelas, senarai sekolah terlibat, jadual pelaksanaan dan laporan kemajuan yang boleh diakses oleh orang awam.
Rakyat berhak mengetahui sekolah mana yang akan dinaik taraf, bila projek akan bermula dan bila murid boleh menikmati kemudahan tersebut.
BANTUAN SEKALI BAYAR TIDAK CUKUP
Pemberian bantuan awal Persekolahan meningkat daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid, elaun Sara Hidup RM2,500 kepada murid Tingkatan Enam dan melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan yang menyasarkan 800,000 murid melalui penyediaan sarapan berkhasiat sememangnya diperlukan terutama kos hidup semakin meningkat.
Langkah ini wajar diberikan penghargaan kepada pihak kerajaan. Namun, bantuan tunai sekali setahun tidak boleh dijadikan jawapan tunggal kepada kos pendidikan.
Ibu bapa bukan sekadar menanggung kos diawal tahun. Mereka juga perlu menanggung kos pengangkutan, internet, peranti, kelas tambahan, aktiviti sekolah dan pelbagai keperluan yang muncul sepanjang tahun.
Bantuan yang berbentuk sekali bayar seperti ini bukan penyelesaian kepada tekanan kewangan yang berpanjangan. Beban kewangan yang perlu ditanggung ibu bapa muda dalam kumpulan pendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar juga perlu dilihat secara teliti oleh pihak kerajaan.
Tuntasnya kejayaan Belanjawan Pendidikan 2027 bukan terletak pada jumlah bilion yang diperuntukkan tetapi perubahan yang berlaku selepas wang itu dibelanjakan.
Jika sekolah masih daif, guru kekal dibebani kerja yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan murid masih tercicir kerana kemiskinan, maka angka besar itu belum cukup untuk diraikan.
Kita tidak perlukan pendidikan yang hanya kelihatan baik dalam dokumen belanjawan. Kita memerlukan sistem pendidikan yang benar-benar berkualiti, dengan memastikan setiap murid menikmati persekitaran pembelajaran secara selesa serta peluang sama rata untuk membina masa depan. -UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Kajian Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Ahli Jawatankuasa Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA).











