APABILA Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad, mengajak Pas menyokong Kerajaan Perpaduan dan meninggalkan UMNO, kenyataan itu mungkin boleh dianggap sebagai pandangan politik biasa yang tidak mempunyai pemberat besar.
Namun, apabila kenyataan seumpamanya dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, nilainya sudah tidak lagi sama.
Ini kerana Muhammad Kamil bukan sahaja memegang jawatan kanan dalam parti, malah merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri.
Justeru, timbul persoalan adakah kenyataan ini sekadar pandangan peribadi atau sebenarnya membawa isyarat daripada Perdana Menteri?
Dalam politik, sesuatu kenyataan yang datang daripada individu yang berada dekat dengan pusat kuasa tidak boleh dinilai sebagai pandangan peribadi semata-mata. Lebih-lebih lagi apabila menyentuh kemungkinan perubahan besar dalam komposisi dan keseimbangan kuasa kerajaan.
Mengapa Pas yang selama ini menjadi antara seteru politik paling keras Pakatan Harapan (PH) tiba-tiba dilihat sebagai rakan yang boleh diajak bersama dalam sebuah kerajaan yang sama?
Saya melihat kenyataan ini sebagai petunjuk terdapat kemahuan yang semakin bersungguh-sungguh dalam kalangan kepimpinan PKR untuk memikat Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.
Bahkan, memberi gambaran wujud keresahan dalam kalangan kepimpinan parti-parti kerajaan, khususnya PKR, terhadap perkembangan landskap politik semasa.
Prestasi PH yang tidak memberangsangkan dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) kebelakangan ini, ditambah pula dengan perubahan sentimen pengundi Melayu, tentunya menjadi faktor yang tidak boleh dipandang ringan.
Dalam keadaan demikian, satu langkah luar biasa mungkin diperlukan, termasuklah mengajak Pas menyertai Kerajaan Perpaduan, sesuatu yang selama ini dilihat hampir mustahil untuk berlaku.
Politik bukan sekadar soal siapa yang memerintah hari ini tetapi siapa yang masih mempunyai keupayaan untuk mempertahankan sokongan rakyat pada hari esok. Inilah persoalan yang semakin menghantui kelangsungan politik PH.
Namun, adakah pelawaan ini benar-benar lahir daripada keikhlasan untuk menyatukan orang Melayu dan meredakan permusuhan politik sebagaimana yang dinyatakan oleh Muhammad Kamil?
Di sinilah persoalan politik menjadi lebih menarik.
Kita harus melihat realiti penyertaan Pas dalam Kerajaan Perpaduan bukan sekadar soal menambah sebuah parti dalam gabungan pemerintah, sebaliknya melibatkan percaturan semula kedudukan kuasa, kepentingan parti-parti yang sudah berada dalam kerajaan dan tentunya, penerimaan DAP yang selama ini mempunyai perbezaan politik dan ideologi yang ketara Pas.
Sukar untuk membayangkan DAP akan menerima dengan mudah kemasukan Pas ke dalam kerajaan tanpa sebarang pertentangan kepentingan dan tuntutan politik.
Persoalannya, bagaimana Pas boleh diterima sebagai rakan dalam sebuah kerajaan yang turut dianggotai DAP, sedangkan kedua-duanya mempunyai perbezaan pendirian yang begitu ketara dalam pelbagai isu dasar, agama dan kenegaraan?
Maka, tawaran ini menimbulkan persoalan yang lebih besar, adakah benar-benar satu pelawaan yang mempunyai jalan pelaksanaan atau sekadar umpan politik untuk mencapai matlamat lain?
Inilah hakikat realpolitik. Dalam percaturan kuasa, prinsip dan slogan sering berjalan seiring dengan kepentingan strategik. Sesuatu tindakan mungkin dibungkus dengan bahasa perpaduan, kestabilan dan kepentingan bersama tetapi pada masa sama mempunyai tujuan untuk menyusun semula keseimbangan kuasa.
Sebab itu, dalam politik, niat tidak boleh dinilai hanya melalui apa yang disebut tetapi juga melalui konteks, masa dan kepentingan yang melatarbelakangi sesuatu tindakan.
Dalam politik, tidak semua tangan yang dihulurkan bertujuan untuk berjabat. Ada tangan yang dihulurkan untuk menarik ke atas, ada juga yang dihulurkan untuk menjatuhkan. Ada yang menghulur tangan untuk mengikat dan ada juga yang sekadar mahu menguji sejauh mana pihak lawan boleh dipengaruhi.
MENGGUGAT KERJASAMA PAS-UMNO
Apa yang perlu diperhatikan ialah kemungkinan pelawaan atau pendekatan ini sebenarnya lebih menjurus kepada strategi menggugat permuafakatan politik yang sedang terbina antara Pas dengan UMNO, atau lebih luas lagi, hubungan antara komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN).
Inilah politik pecah dan perintah dalam bentuk yang lebih halus. Tidak perlu menyerang kekuatan lawan secara berhadapan jika hubungan antara mereka boleh diganggu, kepercayaan boleh diragui dan persefahaman boleh dilonggarkan dari dalam.
Ada satu prinsip klasik dalam percaturan kuasa untuk melemahkan sebuah gabungan, tidak semestinya perlu mengalahkan semua komponennya. Cukup dengan memisahkan mereka kerana kekuatan yang bersatu boleh bertukar menjadi kelemahan apabila masing-masing mula mencurigai antara satu sama lain.
Dalam konteks ini, penyatuan sokongan pengundi Melayu yang semakin menjadi faktor penting dalam gelanggang politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tentunya merupakan perkembangan yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.
Justeru, usaha menarik Pas keluar daripada lingkungan kerjasama politik sedia ada, sekiranya benar menjadi matlamatnya, boleh memberikan kelebihan strategik kepada PH.
Namun, politik juga mempunyai satu hukum yang tidak boleh dielakkan iaitu sesuatu tawaran hanya mempunyai nilai apabila pihak yang menerimanya mengetahui apa yang akan diperoleh dan kemungkinan dikorbankan.
Pas tentunya mempunyai pertimbangan sendiri. Menyertai kerajaan bukan semata-mata peluang mendapatkan kedudukan atau pengaruh tetapi melibatkan prinsip perjuangan, mandat penyokong dan kesetiaan kepada rakan politik.
Tidak ada gunanya menyertai sebuah kerajaan jika akhirnya terpaksa menggadaikan prinsip yang menjadi asas kepada kepercayaan pengundi, khususnya ahli dan para pendukung yang beristiqamah bersama perjuangan parti sejak sekian lama.
Persoalannya, bagaimana mungkin PH, khususnya DAP, yang selama ini mempunyai pertentangan politik yang begitu ketara dengan Pas, tiba-tiba mahu menjadikan parti itu sebagai rakan dalam kerajaan?
Kontroversi yang dicetuskan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, ketika mempertikaikan peraturan penutupan sementara premis perniagaan bagi menghormati solat Jumaat di Terengganu juga masih belum reda. Isu itu memperlihatkan betapa lebarnya jurang perbezaan pendirian yang masih wujud antara kedua-dua pihak.
Pada hemat saya, isu yang lebih penting sekarang bukanlah sama ada Pas akan menerima pelawaan tersebut tetapi sejauh mana pihak yang membuat pelawaan itu benar-benar bersedia menerima parti itu dengan segala prinsip dan pendirian politiknya.
Jika benar matlamatnya ialah perpaduan, maka perpaduan itu mestilah dibina atas kesediaan menerima perbezaan, bukannya dengan mengharapkan pihak yang diajak menyertai kerajaan mengubah pendirian mereka terlebih dahulu.
Dalam masa sama, UMNO juga perlu membuktikan komitmen politiknya. Selagi pendirian UMNO terhadap kerjasama politik dengan Pas dan PN tidak jelas serta berubah-ubah mengikut keadaan, selagi itulah ruang untuk pihak lain memainkan percaturan akan sentiasa terbuka.
UMNO tidak boleh terus berada dalam keadaan serba tidak pasti. Hari ini memberi isyarat mahu bekerjasama, esok mengeluarkan kenyataan berbeza. Hari ini bercakap tentang penyatuan Melayu, esok masih memberi ruang kepada tafsiran kerjasama itu hanya bersifat sementara dan bersyarat.
Dalam politik, kesetiaan bukan diukur melalui kenyataan yang sedap didengar tetapi melalui keteguhan pendirian ketika berhadapan dengan tekanan dan tawaran menguntungkan.
Akhirnya, kita harus memahami politik bukan gelanggang amal kebajikan yang setiap tawaran dibuat tanpa kepentingan. Politik ialah medan persaingan kuasa, kepentingan dan pengaruh. Seruan perpaduan boleh menjadi sesuatu yang tulus tetapi juga boleh dijadikan instrumen untuk mencapai tujuan yang jauh berbeza.
Sebab itulah, jangan terlalu cepat terpesona dengan bahasa perpaduan sehingga terlupa membaca percaturan di sebaliknya.
Dalam politik, yang perlu diperhatikan bukan sekadar siapa yang menghulurkan tangan tetapi mengapa tangan itu dihulurkan.
Itulah mauduk paling utama yang perlu dijadikan asas pertimbangan.
Jika sejak awal sudah timbul keraguan terhadap tujuan dan kepentingan di sebalik sesuatu tawaran, maka tiada keperluan untuk tergesa-gesa menyambutnya. Tidak semua pelawaan perlu diterima dan tidak semua ruang rundingan perlu dibuka.
Kerana ada kalanya, pelawaan untuk menyertai sebuah rumah bukan bertujuan menambah penghuni tetapi untuk mengubah kedudukan perabot, menguasai ruang tamu dan menentukan siapa yang akhirnya berhak memegang kunci rumah tersebut. -UTUSAN
PENULIS ialah wartawan yang pernah aktif selama 25 tahun dan kini berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah.











