MALAYSIA baru sahaja menyaksikan majlis yang begitu gemilang iaitu majlis pembacaan kitab Sunan al-Tirmidzi dan Syama’il al-Nabiy Sollallohu ‘Alayhi Wa Sallam yang merupakan dua karya
teragung yang ditulis oleh alImam al-Tirmidzi.
Dua kitab ini telah dibaca satu-persatu di depan para ulama besar yang dihadirkan ke Malaysia sehingga akhirnya dua kitab hadis ini berjaya dikhatamkan lalu para hadirin dianugerahkan dengan
salasilah para guru yang meriwayatkan dua karya ini sehingga bersambung dengan penulisnya iaitu al-Imam alTirmidzi.
Maka, sangat penting untuk kita mengetahui secara terperinci perjalanan kehidupan al-Imam alTirmidzi yang begitu penting sehingga nama beliau terus mekar di dalam sebutan umat Islam khususnya di dalam bidang hadis Nabi Muhammad SAW.
AL-TIRMIDZI BUKANLAH NAMA SEBENAR
Mungkin ada yang mengira imam bernama al-Tirmidzi sebaliknya al-Tirmidzi adalah bermaksud orang Tirmidz sebagaimana al-Bukhari bermaksud orang Bukhara.
Penulis kitab Sunan al-Tirmidzi dan Syama’il al-Nabiy Sollallohu ‘Alayhi Wa Sallam ini sebenarnya bernama Muhammad bin ‘Isa bin Sauroh bin Musa bin alDhahhak.
Ada juga pandangan lain yang menyatakan beliau bernama Muhammad bin ‘Isa bin Yazid bin Sauroh bin al-Sakan.
Beliau berketurunan Sulaym bin Mansur bin Ikrimah bin Khosofah bin Qays ‘Aylan bin Mudhor bin Nizar bin Ma‘add bin ‘Adnan.
Oleh kerana itulah al-Imam al-Tirmidzi turut dikenali dengan panggilan al-Sulamiy kerana beliau berketurunan Sulaym bin Mansur.
Maka menerusi jejak kekeluargaan ini jelaslah kepada kita pertemuan antara nasab beliau dengan nasab Rasulullah SAW adalah pada Saidina Mudhor bin Nizar bin Ma‘add bin ‘Adnan kerana baginda berketurunan Saidina Ilyas bin Mudhor bin Nizar bin Ma‘add bin ‘Adnan.
Al-Imam Muhammad bin ‘Isa telah menggunakan gelaran Abu Isa yang bermaksud bapa kepada Isa.
Bagaimanapun saya tidak menjumpai sebarang catatan yang menyatakan bahawa beliau memiliki seorang anak lelaki yang bernama Isa.
Selain itu beliau juga dikenali dengan panggilan al-Tirmidzi kerana beliau berasal dari Tirmidz yang pada hari ini terletak di dalam negara Uzbekistan.
Selain disebut Tirmidz, lokasi ini juga turut disebut dengan ejaan Turmudz bahkan ada juga yang menyebut: Tarmidz.
Maka tidak hairanlah apabila penduduk Malaysia biasanya menyebut al-Imam al-Tarmidzi sekalipun sebutan yang paling masyhur adalah al-Tirmidzi.
Selain dikenali dengan gelaran al-Tirmidzi, al-Imam Muhammad bin ‘Isa juga dikenali dengan gelaran al-Bughiy yang bermaksud orang kampung Bugh yang merupakan salah satu kampung di Tirmidz.
Beliau lahir sekitar tahun 210 hijrah bahkan al-Imam Ibnu al-Athir di dalam Jami‘ al-Usul menyatakan secara pasti bahawa al-Imam Muhammad bin ‘Isa lahir pada tahun 209 hijrah.
Ada pandangan yang menyatakan bahawa al-Imam Muhammad bin ‘Isa al-Tirmidziy lahir dalam keadaan buta.
Namun yang lebih kuat adalah beliau lahir dalam keadaan normal. Namun di umur tua beliau, ulama besar ini diuji oleh Allah dengan kehilangan penglihatan sehingga wafat.
Peristiwa ini telah dinyatakan oleh al-Hakim: Saya telah mendengar ‘Umar bin ‘Allak berkata: “Al-Bukhariy telah meninggal dunia dalam keadaan beliau tidak meninggalkan (waris ilmu) di Khurasan seperti Abu ‘Isa dari sudut ilmu, hafalan, kewarakan dan kezuhudan.
Beliau telah menangis sehingga buta. Beliau telah hidup dalam keadaan buta selama bertahun-tahun”.
Berkelana demi menjejak hadis
Seperti para ulama hadis ketika itu, al-Imam al-Tirmidzi juga telah bermusafir jauh hanya dengan tujuan yang begitu mulia iaitu menjejak hadis Rasulullah SAW yang disimpan di dalam dada dan catatan para ulama hadis yang mewarisinya secara turun temurun daripada mulut mulia baginda SAW sehingga sampai kepada mereka.
Menurut catatan sejarah, beliau telah berkelana ke Khurosan, Iraq, Mekah dan Madinah.
Namun beliau tidak pula mengunjungi Mesir dan Syam. Antara guru besar yang hadis mereka diriwayatkan secara banyak oleh beliau di dalam Sunan al-Tirmidzi adalah Qutaybah bin Sa‘id,
Muhammad bin Bash-syar (turut dikenali dengan panggilan: Bundar), Mahmud bin Ghaylan, Hannad bin Sariy, Ahmad bin Mani‘, Muhammad bin Yahya al-‘Adaniy, Muhammad bin al-‘Ala’ (turut dikenali dengan gelaran: Abu Kuroyb), ‘Aliy bin Hujr dan ‘Abd bin Humayd bin Nasr.
Bahkan al-Imam al-Bukhari atau nama sebenarnya Muhammad bin Isma‘il bin Ibrahim bin al-Mughiroh bin Bardizbah juga merupakan guru al-Imam al-Tirmidzi yang banyak dirujuk oleh beliau dalam mengenali para ulama hadis dan darjat kekuatan mereka dalam periwayatan hadis.
Namun, yang lebih menarik adalah al-Imam al-Bukhari yang merupakan guru al-Imam Abu ‘Isa al-Tirmidziy pernah mendengar dua hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmidzi seperti yang dinyatakan sendiri oleh beliau di dalam Sunan al-Tirmidzi iaitu hadis ke-3617 dan 4093 menurut cetakan Maknaz al-Islamiy.
Bahkan al-Imam al-Tirmidzi pernah menyatakan bahawa al-Imam al-Bukhari pernah berkata kepada beliau: “Manfaat yang daku perolehi daripada anda lebih banyak daripada manfaat yang anda perolehi daripadaku”.
Al-Imam al-Tirmidzi juga telah meriwayatkan hadis secara langsung daripada al-Imam Muslim bin al-Hajjaj iaitu hadis ke-690 di dalam Sunan al-Tirmidzi. Beliau juga pernah meriwayatkan tiga hadis daripada al-Imam Abu Daud al-Sijistaniy lalu direkodkan di dalam Sunan al-Tirmidzi iaitu hadis ke-3148, 3962 dan 4158.
Maka tidak hairanlah apabila al-Imam al-Tirmidzi menjadi tumpuan para ulama hadis bagi menyambung legasi periwayatan hadis Rasulullah SAW.
Antara murid beliau adalah al-Imam Abu al-Abbas: Muhammad bin Ahmad bin Mahbub al-Mahbubiy al-Marwaziy yang telah meriwayatkan Sunan al-Tirmidzi dan al-Imam al-Haytham bin Kulayb al-Sya-syiy.
Kekuatan hafalan yang sangat menakjubkan
Seperti al-Imam al-Bukhari, al-Imam Muhammad bin Isa juga dianugerahkan dengan kekuatan hafalan yang sangat luar biasa.
Abu Sa‘d al-Idrisiy ada meriwayatkan dengan sanad beliau bahawa al-Imam al-Tirmidzi pernah berkata: Saya pernah berada di satu jalan di Mekah.
Maka saya telah menulis (hadis-hadis sebanyak) dua jilid daripada hadis (yang diriwayatkan oleh) seorang Syeikh (dengan harapan agar saya menemuinya satu hari nanti lalu dapat mendengar langsung hadis-hadis tersebut daripada beliau).
Maka (pada satu hari) saya telah menemui beliau lalu saya pun telah meminta beliau (untuk membacakan hadis-hadis tersebut kepada saya) dalam keadaan saya menyangka dua jilid (hadis tersebut ada) bersama saya.
Maka saya telah meminta beliau (akan hajat tersebut) lalu beliaupun menyetujuinya. Tiba-tiba (barulah setelah itu saya menyedari yang saya tersalah membawa kitab kerana yang) bersama saya (sebenarnya) adalah dua jilid yang masih putih (yang belum lagi ditulis sebarang hadis).
Maka, beliau terus membacakan (hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau) kepada saya daripada lafaznya (secara hafalan). Lalu beliau memandang. Beliau pun telah melihat yang ada di tangan saya hanyalah kertas yang putih (yang belum pernah dicatat sebarang hadis).
Maka beliau pun berkata: “Kamu tidak malukah kepada saya”?! Maka saya pun memberitahu kepada beliau mengenai perkara (yang berlaku kepada) saya. Saya telah berkata: “Saya kini telah menghafaz hadis-hadis itu seluruhnya”. Beliau telah berkata: “Bacalah”. Maka saya pun membacanya kepada beliau. Namun beliau tidak percaya (yang saya baru sahaja menghafaz hadis-hadis tersebut).
Beliau berkata: “Kamu telah menghafal sebelum kamu datang”? Maka (demi membuktikan yang saya sebenarnya baru sahaja membaca hadis-hadis itu), saya pun berkata kepada beliau:
“Ceritakanlah kepada saya hadis selain itu”. Maka beliau telah menceritakan kepada saya 40 hadis (yang lain) lalu beliau telah berkata: “Berikanlah (semula kepada saya 40 hadis tersebut secara hafalanmu)”.
Maka saya pun telah mengulang semula kepada beliau dalam keadaan saya langsung tidak tersilap (meskipun) pada satu huruf.
Menurut sebahagian riwayat, Syeikh tersebut begitu takjub dengan hafalan al-Imam al-Tirmidzi sehingga beliau telah berkata: “Saya tidak pernah melihat orang seperti anda”!-UTUSAN
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
(Bersambung)










