KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pemetaan keperluan bilik darjah berdasarkan sasaran dan jumlah sebenar pendaftaran murid bagi menghadapi kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu mulai sesi persekolahan 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, beberapa pendekatan sedang dilaksanakan bagi memastikan kemudahan bilik darjah mencukupi menjelang sesi persekolahan Januari depan termasuk pembinaan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).
“Pembinaan secara IBS ada yang sudah siap dan ada yang masih dalam pelaksanaan. Kita akan pastikan semuanya sempat disiapkan untuk digunakan pada sesi persekolahan Januari,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai pelaksanaan pemetaan keperluan bilik darjah, guru dan kemudahan asas di seluruh negara, selain kesediaan KPM membentangkan unjuran pertambahan murid serta keperluan infrastruktur mengikut negeri.
Kah Woh berkata, selain membina bilik darjah baharu, KPM turut mengoptimumkan penggunaan ruang sedia ada di sekolah bagi menampung keperluan murid.
Katanya, ruang yang tidak lagi digunakan akan melalui kerja ubah suai dan naik taraf sebelum ditukar fungsi menjadi bilik darjah.
“Kita tukar fungsi bilik-bilik sedia ada melalui inisiatif ubah suai dan naik taraf. Jika ada bilik kosong yang sebelum ini tidak digunakan, kita akan mengubah suai dan menaik tarafnya untuk dijadikan bilik darjah bagi menampung keperluan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, projek pembinaan sekolah baharu itu mengalami kelewatan sebanyak 6.59 peratus atau 51 hari.
Beliau berkata, kemajuan fizikal projek SMK Gum-Gum 2 di Sabah setakat hari ini adalah 5.67 peratus berbanding sasaran 12.26 peratus mengikut jadual kontrak.
“Bagaimanapun, KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah akan terus memantau pelaksanaan projek itu bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut perancangan.
“Projek bernilai RM61.923 juta yang diluluskan di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) itu merangkumi pembinaan 18 bilik darjah serta kemudahan sekolah lain. Kerja pembinaan bermula pada 30 Jun 2025 dan dijadualkan siap pada 31 Julai 2028,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan projek itu pada peringkat awal berdepan bantahan masyarakat setempat terhadap tapak asal, sekali gus memerlukan pemindahan ke tapak baharu serta penyelesaian beberapa urusan teknikal sebelum Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah selaku agensi pelaksana melantik kontraktor.
Beliau menjawab soalan asal Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai status pembinaan asrama baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran serta perkembangan projek SMK Gum-Gum 2 di Sandakan.











