GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menyambung semula pembinaan dua kapal Peronda Luar Pantai (OPV) yang terbengkalai sebelum ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kerja-kerja pembinaan OPV 2 dan OPV 3 itu akan dilaksanakan di Sarawak berikutan syarikat yang dilantik berpangkalan di Miri serta Sibu.
Beliau menambah, pelantikan syarikat baharu itu dijangka dapat memastikan kedua-dua aset penting tersebut disiapkan sepenuhnya bagi memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara.
“Proses penyiapan kedua-dua kapal itu dijangka mengambil masa sehingga 36 bulan termasuk urusan membawa kapal berkenaan dari lokasi penyimpanan di Klang ke Miri,” katanya dalam sidang akhbar Program Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2026 di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Rosli berkata, APMM turut memperoleh kelulusan peruntukan berjumlah RM1.088 bilion bagi pelaksanaan 16 projek di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Tahun 2027.
Jelasnya, peruntukan itu merangkumi pembangunan infrastruktur, pemodenan aset, peningkatan keupayaan operasi serta penyelenggaraan kapal dan bot.
“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM339.94 juta diperuntukkan bagi projek fizikal termasuk pembinaan Kompleks Maritim Malaysia Negeri Johor di Mukim Tanjung Kupang, Johor.
“Pembangunan keupayaan ini merupakan langkah strategik dalam memastikan aset dan warga Maritim Malaysia kekal berkeupayaan, berdaya tahan serta bersiap siaga menghadapi landskap ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan, perolehan asal tiga kapal OPV APMM ditamatkan secara bersama dengan THHE Destini Sdn. Bhd. pada 31 Disember 2024.
Bagaimanapun, OPV 1 yang dinamakan KM Tun Fatimah telah diserahkan kepada APMM pada 2 Januari 2024.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memaklumkan kos penyiapan OPV 2 dan OPV 3 disemak kepada RM319.58 juta.-UTUSAN











