Kenal pasti leher gelap akibat daki atau pigmentasi

Kenal pasti leher gelap akibat daki atau pigmentasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kulit leher yang kelihatan gelap, tebal dan seakan-akan berdaki sering menimbulkan persoalan, malah ada yang menganggap keadaan itu berpunca daripada kebersihan diri yang tidak dijaga dengan baik.

Tidak hairanlah, ada individu berusaha menggosok bahagian leher berulang kali ketika mandi dengan harapan warna gelap tersebut dapat dihilangkan.

Sebenarnya, leher yang kehitaman tidak semestinya disebabkan pengumpulan daki.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, perubahan warna pada bahagian leher boleh berpunca daripada beberapa keadaan kulit, termasuk pengumpulan sel kulit mati, hiperpigmentasi dan masalah kesihatan tertentu seperti rintangan insulin.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, kulit leher lebih mudah mengalami perubahan warna kerana bahagian itu sering terdedah kepada cahaya matahari dan mengalami geseran berulang akibat pemakaian tudung, kolar baju dan rantai.

Tanggapan itu bukan sahaja boleh menyebabkan individu berasa malu, malah mendorong mereka menggosok bahagian leher dengan lebih kuat kerana menyangka kotoran masih melekat pada kulit.

“Hakikatnya, masalah leher gelap tiada kaitan dengan kebersihan diri kerana perubahan warna berlaku pada lapisan kulit, bukannya disebabkan kotoran di permukaan.

“Jadi, walaupun digosok atau dicuci berkali-kali ketika mandi, warna gelap itu tetap tidak akan hilang,” katanya.

Katanya, terdapat perbezaan antara pengumpulan sel kulit mati dengan masalah hiperpigmentasi yang boleh dikenal pasti melalui keadaan permukaan kulit.

Pengumpulan sel kulit mati biasanya menyebabkan kulit kelihatan tidak sekata dan bersisik.

Keadaan dikenali sebagai terra firma-forme dermatosis itu boleh dikenal pasti menggunakan kapas alkohol (alcohol swab).

Sekiranya lapisan gelap berkenaan hilang selepas disapu dengan alkohol, ia berkemungkinan disebabkan pengumpulan sel kulit mati dan bukannya hiperpigmentasi.

Sebaliknya, hiperpigmentasi tidak akan hilang walaupun kulit digosok atau dibersihkan menggunakan alkohol kerana perubahan warna berlaku pada lapisan dalam kulit.

Satu lagi keadaan yang perlu diberi perhatian ialah acanthosis nigricans, iaitu keadaan kulit menjadi lebih gelap, sedikit tebal dan mempunyai tekstur seperti baldu apabila disentuh.

Keadaan ini boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan tertentu, termasuk rintangan insulin.

Periksa sebelum menggosok

Menurut Dr. Hamidah, tindakan menggosok terlalu kuat dan berulang kali boleh mencederakan kulit serta memburukkan masalah pigmentasi.

Ini kerana kulit yang mengalami iritasi atau kecederaan boleh menghasilkan lebih banyak melanin, sekali gus menyebabkan kawasan berkenaan menjadi semakin gelap.

Selain itu, penggunaan bahan aktif seperti AHA, BHA dan retinol juga boleh membantu mempercepatkan proses penanggalan sel kulit mati, namun perlu dilakukan secara berhati-hati.

Hal ini kerana kulit leher lebih nipis dan sensitif berbanding bahagian badan lain, sekali gus meningkatkan risiko kemerahan, iritasi dan pigmentasi jika produk digunakan pada kepekatan terlalu tinggi.

“Kalau nak guna, pilih produk dengan kepekatan rendah, gunakan secara konsisten dan jangan lupa pakai pelindung matahari.

“Kita bimbang kulit leher yang sensitif ini akan menjadi merah, pedih dan akhirnya bertambah gelap,” katanya.

Kesimpulannya, jangan terburu-buru menganggap leher gelap sebagai masalah daki atau kebersihan diri.

Kenali dahulu perubahan pada permukaan kulit dan dapatkan pemeriksaan sekiranya kehitaman berlarutan atau disertai perubahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini