SETIAP kali musim tengkujuh melanda negeri-negeri Pantai Timur, mahasiswa perlu menyesuaikan rutin pengajian dengan keadaan cuaca yang berubah.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Monsun Timur Laut lazimnya berlangsung dari November hingga Mac dan membawa hujan lebat terutama ke kawasan Pantai Timur.
Luruan monsun turut boleh menyebabkan angin kencang serta laut bergelora yang memerlukan orang ramai lebih berhati-hati ketika merancang perjalanan dan aktiviti harian.
Bagi mahasiswa yang menunggang motosikal atau menggunakan kenderaan lain ke kampus, hujan lebat boleh mengehadkan penglihatan dan meningkatkan risiko kemalangan. Keadaan menjadi lebih mencabar apabila laluan dinaiki air, sedangkan mereka mungkin perlu menghadiri kuliah, pembentangan atau penilaian yang telah ditetapkan.
Dalam keadaan sedemikian, keselamatan perlu didahulukan. Mahasiswa yang berdepan kesukaran perjalanan wajar menghubungi pensyarah lebih awal untuk memaklumkan situasi sebenar. Tindakan ini membolehkan penyelesaian yang munasabah dibincangkan tanpa memaksa mereka mengambil risiko semata-mata untuk hadir ke kampus.
Makluman tersebut penting kerana keadaan cuaca di universiti mungkin berbeza daripada kawasan kediaman atau laluan yang digunakan mahasiswa. Dengan memahami situasi sebenar, pensyarah boleh mempertimbangkan penyesuaian terhadap kehadiran, pembentangan atau kaedah pengajaran.
Sekiranya hujan lebat berterusan menjejaskan pergerakan, kelas dalam talian boleh menjadi alternatif. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemungkinan gangguan bekalan elektrik dan capaian internet.
Rakaman kuliah serta nota digital juga dapat membantu mahasiswa mengikuti pembelajaran apabila keadaan kembali mengizinkan. Tempoh penghantaran tugasan boleh dilanjutkan sekiranya berlaku kecemasan yang benar-benar menjejaskan kemampuan mereka untuk menyiapkannya.
Persediaan awal turut penting bagi mengurangkan gangguan terhadap pengajian. Mahasiswa boleh menyimpan salinan tugasan, bahan rujukan dan data penyelidikan dalam storan awan supaya dapat diakses sekiranya peranti rosak atau berlaku masalah lain. Perbincangan kumpulan pula boleh diteruskan secara dalam talian apabila pertemuan fizikal tidak dapat dilaksanakan.
Aspek keselamatan tidak hanya terhad kepada perjalanan dan aktiviti akademik. Kegiatan riadah serta program persatuan juga perlu disesuaikan dengan keadaan cuaca. Bermain hujan, menghampiri pantai ketika ombak besar atau merakam kejadian banjir boleh membawa risiko yang tidak disedari.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut mengingatkan air banjir yang kelihatan cetek boleh mengandungi arus deras, lubang atau objek berbahaya. Justeru, mahasiswa tidak seharusnya mengambil mudah keadaan air yang bertakung atau melimpah di sesuatu kawasan.
Aktiviti persatuan, program lapangan dan kegiatan luar kampus juga wajar mengambil kira amaran cuaca semasa. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, penjadualan semula lebih baik daripada meneruskan program yang boleh membahayakan peserta.
Dalam kalangan rakan pula, sikap saling mengingatkan amat penting. Teguran terhadap tindakan berisiko perlu diterima secara terbuka kerana keselamatan bukan tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya melibatkan komuniti kampus secara keseluruhan.
Musim tengkujuh sememangnya membawa cabaran kepada mahasiswa Pantai Timur tetapi keadaan itu tidak seharusnya menjejaskan kelangsungan pengajian. Dengan persediaan awal, komunikasi yang baik bersama pensyarah dan penggunaan kaedah pembelajaran yang fleksibel, tanggungjawab akademik masih dapat dilaksanakan dengan teratur.
Dalam apa juga keadaan, pencapaian akademik penting tetapi keselamatan mahasiswa jauh lebih utama. Tiada kuliah, pembentangan atau tugasan yang berbaloi jika perlu dibayar dengan risiko terhadap nyawa dan keselamatan. –UTUSAN
DR. NAZRA ALIFF NAZRI
Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)










