WASHINGTON: Ribut kuat melanda sebahagian besar Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) semalam, menyebabkan lebih 836,000 pengguna terputus bekalan elektrik dan mengganggu perjalanan udara sempena sambutan percutian Thanksgiving.
Angin kencang sehingga 112 kilometer sejam dilaporkan menumbangkan pokok serta talian elektrik, manakala hujan lebat menyebabkan banjir di kawasan pesisir pantai.
Menurut laman pemantauan penerbangan, FlightAware, sebanyak 417 penerbangan berkaitan AS dibatalkan pada Khamis, manakala kira-kira 1,800 lagi mengalami kelewatan menjelang petang.
Lapangan terbang utama di kawasan Washington dan New York antara yang paling teruk terjejas akibat cuaca buruk itu.
Syarikat utiliti turut memberi amaran bahawa keadaan tanah yang tepu air akibat hujan lebat serta angin kencang meningkatkan risiko pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik.
Menurut PowerOutage.us, lebih 836,000 pelanggan syarikat utiliti di AS terputus bekalan elektrik setakat pukul 4.06 petang waktu Timur semalam.
Virginia mencatatkan lebih 174,000 pelanggan terjejas, diikuti Maryland dengan 172,000 dan Pennsylvania hampir 170,000.
Gangguan bekalan turut dilaporkan membabitkan lebih 117,000 pelanggan di Missouri, lebih 91,000 di New Jersey, lebih 20,000 di Delaware dan hampir 16,000 di North Carolina.
Syarikat utiliti dan pihak berkuasa negeri sebelum ini memberi amaran gabungan angin kencang dari arah laut serta hujan lebat berpotensi menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS (NWS), tiupan angin antara 80 hingga 112 kilometer sejam dilaporkan atau diramalkan melanda beberapa kawasan di Virginia, Maryland, Delaware, New Jersey, New York dan pesisir New England.
Agensi itu memaklumkan keadaan cuaca di kawasan Mid-Atlantic dijangka beransur pulih sepanjang malam apabila hujan paling lebat dan angin paling kencang bergerak ke New England.
Bagaimanapun, keadaan berangin dengan tiupan antara 40 hingga 56 kilometer sejam dijangka berterusan di beberapa kawasan Pantai Timur hari ini
Pengurusan Kecemasan Bandar Raya New York melaporkan kelajuan angin meningkat pada petang semalam dengan tiupan mencecah 90 kilometer sejam di Lapangan Terbang LaGuardia.- AGENSI











