SEJAK sebelum merdeka hingga 1998, landskap politik negara didominasi satu gabungan utama, bermula dengan Parti Perikatan yang menggunakan lambang kapal layar sebelum digantikan Barisan Nasional (BN) dengan simbol dacing.
BN menghimpunkan UMNO, MCA, MIC, Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) serta parti dari Sabah dan Sarawak. Ketika itu, Pas, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) bergerak secara bersendirian.
Landskap politik berubah selepas 1998 apabila PKR ditubuhkan dengan keanggotaan berbilang kaum. Perkembangan ini turut memperlihatkan perpecahan sokongan politik Melayu mengikut fahaman dan parti.
Apabila berlaku krisis dalaman, penubuhan parti baharu menjadi jalan yang dipilih. Antaranya termasuk Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), serta parti yang lebih baharu seperti Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Sebahagian besar penggeraknya pernah berada dalam UMNO, Pas atau PKR sebelum membentuk wadah politik sendiri dan mencari rakan gabungan.
Walaupun setiap parti membawa nama serta matlamat tersendiri, namun persaingan untuk mendapatkan kuasa dan membentuk kerajaan tetap menjadi tujuan utama. Perbezaan prinsip dan hala tuju pula tidak semestinya jelas kepada pengundi.
Keadaan ini terserlah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka apabila BN berkempen menentang Pakatan Harapan (PH), sedangkan kedua-duanya bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan.
Wakil UMNO atau BN bertanding menentang calon PH di peringkat negeri, walaupun parti masing-masing berkongsi pentadbiran di Pusat. Percanggahan pendekatan ini boleh mengelirukan pengundi dan menimbulkan tanggapan kerjasama kerajaan tidak mempunyai asas yang kukuh dalam landskap politik negara hari ini.
Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung pada 2027, hubungan antara gabungan mungkin berubah mengikut kepentingan politik. Kerjasama yang terjalin di Pusat boleh terlerai di negeri, sebelum disambung semula apabila keadaan memerlukan.
Bagi mengelakkan persaingan terlalu berpecah, penulis mencadangkan supaya hanya dua gabungan dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.
Parti yang berusia kurang dua tahun pula dicadangkan tidak layak bertanding. Cadangan ini wajar dibahaskan bagi memastikan sistem kepartian lebih tersusun dan pengundi mendapat pilihan yang jelas. –UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur











