Speedy Tigers mahu tamat dominasi Australia

Speedy Tigers mahu tamat dominasi Australia

FAIZAL Saari (kiri) ketika beraksi menentang Pakistan pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, kelmarin. - IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad hoki negara bertekad meruntuhkan dominasi Australia apabila kedua-dua pasukan bakal berentap dalam aksi final Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh malam ini.

Speedy Tigers tidak mahu sekadar menjadi pelengkap final, sebaliknya bertekad memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memburu trofi berprestij itu dengan menumbangkan gergasi dunia yang berada di ranking ketiga.

Keyakinan skuad negara hadir selepas kebangkitan luar biasa apabila berjaya mengikat Pakistan 5-5 dalam aksi penentuan liga sepusingan, sekali gus mengesahkan tiket ke final buat kali pertama sejak kali terakhir menjulang trofi pada edisi 2022.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyerang sensasi negara, Faizal Saari menegaskan reputasi skuad Kookaburras tidak sedikitpun menggentarkan pasukannya, sebaliknya peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri menjadi motivasi tambahan untuk mencipta kejutan.

“Australia berada di ranking ketiga dunia, tetapi malam ini kami turun beraksi di gelanggang sendiri. Di pentas final, apa sahaja boleh berlaku dan kami akan berikan sepenuh jiwa dalam aksi final nanti.

“Kejayaan bangkit mengikat Pakistan membuktikan kami semua berjuang dari wisel bermula hingga minit ke-60. Jadi, saya sangat berpuas hati dengan prestasi kami walaupun berakhir 5-5 tetapi kami berjaya layak ke final,” kata Faizal

Ketajaman Faizal yang meledak hatrik pada aksi penentuan sebelum ini bakal menjadi antara senjata utama negara selepas memimpin carta penjaring terbanyak kejohanan dengan 11 gol untuk menguji pertahanan Australia yang terkenal dengan corak permainan berintensiti tinggi.

Selain Faizal, skuad negara turut mengharapkan kelincahan Azrai Aizad Abu Kamal serta kepimpinan kapten, Marhan Jalil bagi memperkukuh jentera serangan dan mengimbangi kekuatan gergasi Oceania itu.

Pertemuan itu juga menjadi peluang buat Speedy Tigers membalas kekalahan 2-4 kepada Australia sebelum ini, yang menamatkan rentetan tiga kemenangan berturut-turut skuad negara dalam kejohanan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini