DALAM dunia pekerjaan yang sentiasa berubah, peluang melanjutkan pengajian dan meningkatkan profesionalisme semakin penting. Seiring dengan perkembangan ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035, khususnya Lonjakan 8, memberikan penekanan kepada pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat bagi memperluas akses kepada pelbagai kelompok masyarakat.
Sehubungan itu, pengajian secara terbuka dan jarak jauh (ODL) menjadi pilihan bagi golongan bekerja untuk meningkatkan pengetahuan tanpa mengabaikan tanggungjawab kerjaya serta keluarga.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), inisiatif ini mula diperkenalkan pada 2022 menerusi dua program sarjana Fakulti Pendidikan, iaitu Sarjana Pendidikan dalam Teknologi Pendidikan dan Sarjana Pendidikan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Pembangunan program tersebut melibatkan kepakaran dalam bidang pendidikan dan teknologi pengajaran. Cabarannya bukan sekadar memindahkan kuliah ke platform dalam talian tetapi menyediakan pengalaman pembelajaran yang sesuai dengan kehidupan pelajar yang bekerja sepenuh masa.
Atas keperluan itu, bahan pembelajaran kendiri (SIM) dibangunkan bagi membimbing pelajar memahami kandungan, menghubungkan idea dan menguji kefahaman tanpa bergantung sepenuhnya kepada pensyarah. Penyampaiannya menggunakan bahasa yang lebih mesra dan mudah diikuti supaya pelajar dapat belajar mengikut kemampuan masing-masing.
Sistem pengurusan pembelajaran (LMS) turut disusun dengan bahan, arahan aktiviti, ruang perbincangan dan maklumat pentaksiran yang jelas.
Jadual perjumpaan secara langsung pula disesuaikan berdasarkan maklum balas bakal pelajar, dengan sesi dijalankan pada waktu malam bagi memberi ruang kepada urusan keluarga dan peribadi.
Kaedah pentaksiran juga diubah dengan memberikan penekanan kepada penilaian berterusan dan tugasan alternatif berbanding peperiksaan bertulis. Antaranya, pelajar menjalankan kajian kes berdasarkan persekitaran pekerjaan masing-masing. Melalui pendekatan ini, mereka dapat mengaplikasikan teori dan ilmu yang dipelajari untuk menilai amalan kerja serta mencadangkan penambahbaikan.
Kepelbagaian latar belakang pelajar turut memperkayakan pengalaman akademik. Program Teknologi Pendidikan, misalnya, bukan sahaja disertai guru, malah turut menarik minat doktor perubatan, arkitek, jurutera, usahawan, pegawai kerajaan dan jurulatih swasta.
Penyertaan mereka membuktikan ilmu berkaitan pendidikan, teknologi dan kaedah pembelajaran diperlukan dalam pelbagai bidang pekerjaan.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan ODL memerlukan penambahbaikan berterusan. Pembangunan bahan pengajaran mengambil masa, manakala pensyarah memerlukan latihan pedagogi dan sokongan teknikal yang mencukupi. Pelajar juga perlu menerima bimbingan serta maklum balas konsisten bagi memastikan mutu pembelajaran sentiasa terpelihara.
Sempena Majlis Konvokesyen UKM tahun ini, Fakulti Pendidikan bakal meraikan 54 graduan sarjana daripada kedua-dua program ODL tersebut. Kejayaan mereka mencerminkan kesungguhan menamatkan pengajian sambil mengurus tuntutan kerjaya dan keluarga.
Pencapaian ini turut membuktikan bahawa pendidikan tinggi tidak terhad kepada mereka yang mempunyai masa untuk mengikuti pengajian sepenuh masa di kampus. Dengan pendekatan yang fleksibel, sokongan akademik dan sistem pembelajaran yang tersusun, peluang menimba
PROFESOR MADYA DR. FARIZA KHALID
Pensyarah Kanan (Teknologi Pendidikan),
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










