MALAYSIA sedang menyediakan sekolah untuk pembelajaran kecerdasan buatan (AI). Namun, usaha ini perlu mengambil kira perbezaan kemudahan teknologi dan peluang pembelajaran antara sekolah supaya semua murid mendapat manfaat yang sama.
Perkara ini timbul susulan penjelasan Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat pada 11 November lalu sebanyak 1,180 sekolah di enam negeri masih belum menggunakan sambungan internet gentian optik.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 759 sekolah, diikuti Pahang (181) dan Sabah (177).
Walaupun sekolah berkenaan turut menerima sambungan melalui jalur lebar tanpa wayar dan satelit, kemudahan internet semata-mata belum menjamin pembelajaran digital yang berkualiti.
Kestabilan rangkaian, peranti, kemahiran guru dan bahan pengajaran juga memainkan peranan penting.
KPM sedang membangunkan DELIMa 3.0 serta melaksanakan projek rintis AI-Powered Classroom di 27 sekolah terpilih bagi tempoh 2026 hingga 2027. Peluasan inisiatif ini dirancang secara berperingkat antara 2028 hingga 2030 dengan mengambil kira kesiapsiagaan kemudahan dan kompetensi guru.
Pendekatan tersebut wajar, namun perhatian juga perlu diberikan kepada murid di sekolah yang belum mempunyai kemudahan setanding.
Kajian Nuurrianti Jalli dan rakan-rakan (2026) bertajuk Digital Inequality and Online Learning in Rural Sarawak mendapati 91.6 peratus pelajar yang terlibat di daerah Layar tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian secara berkesan. Antara halangannya ialah capaian internet, peranti, literasi digital dan keadaan sosioekonomi.
Walaupun kajian ini bukan khusus mengenai pendidikan AI, dapatan tersebut menunjukkan kekangan teknologi boleh menjejaskan penyertaan murid dalam pembelajaran digital.
Kajian Faerozh Madli dan rakan-rakan (2026), Understanding Barriers and Enablers of Offline Digital Adoption and Pedagogy Practices in Sabah Schools, turut mengenal pasti masalah penyelenggaraan perkakasan, sokongan teknikal dan latihan guru.
Kajian terhadap 42 penyelidikan empirikal itu turut mengetengahkan kepentingan kandungan pembelajaran setempat, penglibatan komuniti dan sokongan kepimpinan sekolah.
Penguasaan AI tidak sepatutnya diukur berdasarkan kebolehan murid menggunakan aplikasi semata-mata. Mereka perlu memahami cara teknologi menghasilkan maklumat, mengenal pasti kesilapan, menyemak sumber serta menilai kesahihan sesuatu jawapan.
Sekolah yang mempunyai capaian internet terhad masih boleh memperkenalkan asas AI melalui simulasi, bahan pembelajaran yang disediakan lebih awal dan latihan membandingkan jawapan teknologi dengan sumber yang dipercayai.
Kaedah ini tidak menggantikan sepenuhnya pengalaman menggunakan aplikasi secara langsung, tetapi dapat membantu murid membina kefahaman secara berperingkat sementara kemudahan infrastruktur dipertingkatkan.
Kejayaan pendidikan AI tidak seharusnya dinilai berdasarkan bilangan sekolah rintis, peranti atau capaian internet sahaja. Penilaian juga perlu melihat kemampuan murid mengenal pasti maklumat tidak tepat, menyemak jawapan AI dan membuat keputusan secara kritis.
KPM wajar menyediakan ukuran pencapaian yang mengambil kira keadaan setiap sekolah supaya murid di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak ketinggalan. Guru juga perlu menerima latihan, bahan pengajaran serta bantuan teknikal yang mencukupi, bukannya dibiarkan mencari penyelesaian sendiri.
Malaysia berpeluang membangunkan pendidikan AI yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan kemajuan teknologi dan realiti kemudahan sekolah.
Pelaksanaannya perlu memastikan setiap murid berpeluang memahami serta menggunakan AI secara bijaksana tanpa dibatasi lokasi dan latar belakang sekolah. -UTUSAN
DR. MASTURA MAHAMED
Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia (UPM)










