PETALING JAYA: Karakter yang dimiliki Bojan Hodak meletakkan pengendali dari Croatia itu sebagai individu tepat untuk mengendalikan Harimau Malaya.
Kapten Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo Josue yang pernah berada dibawah bimbingan Hodak berkata, sikap tegas dan disiplin tinggi sering menjadi keutamaan pengendali itu.
Katanya, situasi itu secara tidak langsung mencabar kemampuan pemain dan diyakini mampu membawa perubahan positif kepada skuad Harimau Malaya.
Menurut Josue, Hodak bukan sekadar seorang jurulatih yang mementingkan disiplin dan perancangan taktikal, malah memiliki karakter seperti seorang bapa yang sentiasa mengambil berat terhadap pemain sama ada di dalam mahupun luar padang.
Katanya, pendekatan itu menjadi antara kekuatan utama Hodak dalam membentuk sebuah pasukan yang bukan sahaja bekerja keras untuk mencapai kejayaan, tetapi turut mempunyai semangat kekeluargaan dan kesatuan yang cukup kuat.
“Beliau seperti seorang ayah kepada kami, sama ada di dalam atau luar padang. Beliau sentiasa mahu kami bekerja sebagai satu pasukan dan sebuah keluarga.
“Beliau juga seorang jurulatih yang sentiasa mencabar pemain untuk menjadi lebih baik dan tidak pernah membiarkan kami berada dalam zon selesa kerana sentiasa mahu kami meningkatkan kemampuan dan mencabar diri sendiri,” katanya.
Josue berkata, kelebihan Hodak turut terserlah menerusi kebijaksanaannya merancang strategi serta mengenal pasti kualiti pemain yang diperlukan bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada kejayaan.
Malah, pendekatan itu terbukti berhasil apabila Hodak berjaya menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia 2021 kepada KL City, dengan Josue menjadi antara tonggak utama pasukan ketika menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final.
Justeru, Josue menyifatkan pelantikan Hodak mengendalikan Harimau Malaya sebagai peluang yang memang layak diberikan kepada jurulatih berpengalaman itu.
“Beliau memang seorang jurulatih yang bekerja keras. Jika pemain mengikut perancangan dan apa yang dimahukannya, saya percaya sesebuah pasukan mampu mencapai kejayaan.
“Saya berharap beliau dapat melakukan perkara sama bersama barisan pemain Harimau Malaya yang ada sekarang. Beliau tahu bagaimana mendapatkan hasil terbaik daripada pemain dan sentiasa mempunyai perancangan tersendiri,” katanya. – UTUSAN











