Buta bukan sekadar pada mata

Buta bukan sekadar pada mata

PERKATAAN ‘buta’ mempunyai pelbagai makna, bukan sahaja berkaitan penglihatan tetapi juga sikap dan pemikiran manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKATAAN ‘buta’ memiliki makna yang jauh lebih luas daripada keadaan seseorang tidak dapat melihat. Perkataan ini boleh merujuk kepada kekurangan deria penglihatan, kejahilan, ketidakpekaan, ketiadaan sesuatu, tindakan tanpa pertimbangan dan keadaan yang amat gelap.

Dalam percakapan harian, media massa, karya sastera dan dialek tempatan, buta turut membentuk pelbagai simpulan bahasa serta ungkapan yang mempunyai makna tersendiri. 

Kepelbagaian ini memperlihatkan kekayaan kosa kata dan keupayaan menggambarkan pengalaman manusia melalui satu perkataan yang ringkas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Makna asas ‘buta’ ialah tidak dapat melihat. Namun, perkataan ini turut mempunyai makna kiasan. Seseorang boleh dikatakan buta bukan sahaja kerana tidak dapat menggunakan deria penglihatan, malah juga kerana tidak mempunyai pengetahuan, pertimbangan atau kepekaan dalam perkara tertentu.

Dalam penggunaan rasmi, buta lazimnya merujuk kepada keadaan penglihatan yang terjejas atau hilang. Istilah ‘buta warna’ misalnya digunakan dalam bidang perubatan untuk menjelaskan daltonisme iaitu keadaan seseorang tidak dapat membezakan warna tertentu.

‘Buta huruf’ bermaksud tidak tahu membaca dan menulis, manakala ‘buta angka’ merujuk seseorang yang tidak tahu atau tidak pandai mengira. 

Dalam perkembangan masyarakat digital, muncul pula istilah ‘buta komputer’ serta ‘buta IT’

iaitu tidak tahu atau tidak mahir menggunakan komputer dan teknologi maklumat. Penggunaan ini memperlihatkan hakikat seseorang boleh mempunyai penglihatan yang sempurna tetapi masih dianggap buta dalam bidang tertentu.

Dalam percakapan tidak rasmi, perkataan buta membentuk pelbagai ungkapan yang lebih berwarna-warni. ‘Buta kayu’ misalnya merupakan ungkapan bahasa percakapan yang membawa maksud buta huruf.

Antara frasa yang menarik ialah ‘buta hati’ iaitu merujuk kepada seseorang yang tidak mempunyai belas kasihan, bersikap kejam atau tidak dapat menerima nasihat dan pengajaran. 

Penggunaan ini memperlihatkan bagaimana kebutaan boleh dikaitkan dengan sifat dalaman manusia, bukan sekadar keadaan fizikal.

Frasa ‘malam buta’ membawa maksud malam yang sangat gelap manakala ‘buta tuli’ bermaksud tidak mempedulikan teguran, arahan atau perkara yang disampaikan. Seseorang yang bersikap demikian seolah-olah tidak mendengar dan tidak melihat keadaan di sekelilingnya.

Frasa ‘membuta tuli’ ada persamaan dengan ‘membabi buta’ iaitu melakukan sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu. Frasa ‘buta ayam’ lebih kita kenali sebagai ‘rabun ayam’ dan merujuk kepada keadaan penglihatan yang kabur pada waktu senja.

Agak menarik juga untuk diperhatikan istilah ‘buta warna’ boleh juga membawa makna kiasan yang berbeza daripada istilah perubatan daltonisme yang diterangkan tadi.

Seorang ahli politik mungkin menggunakan frasa itu semasa berkempen menjelang pilihan raya untuk menunjukkan bahawa dia dan partinya akan membantu penduduk tanpa mengira kaum dan agama.

Dalam konteks ini, ‘buta warna’ membawa maksud tidak menjadikan warna kulit atau latar kaum sebagai asas pertimbangan. Ironinya, kebutaan yang biasanya dianggap kekurangan digunakan untuk menggambarkan sikap berkecuali dan keadilan.

Dalam dunia pekerjaan pula, ungkapan ‘gaji buta’ digunakan untuk menyindir seseorang yang menerima gaji tanpa melakukan pekerjaan yang sewajarnya. ‘Surat buta’ merujuk kepada surat layang yang tidak mempunyai nama pengirim.

Sementara itu, ‘perigi buta’ merujuk perigi yang tidak mempunyai air. Semua contoh ini yang saya sempat baca dalam karya fiksyen dan berita tempatan memperlihatkan hakikat perkataan ‘buta’ boleh membawa pengertian ketiadaan sesuatu yang sepatutnya ada.

Selain frasa-frasa tersebut, terdapat juga ungkapan yang mungkin tidak dikenali generasi muda. Misalnya, ‘buta belalang’ di mana mata seseorang tidak rosak tetapi dia disahkan cacat penglihatan.

Frasa ‘buta bular’ juga merujuk keadaan buta secara fizikal akibat selaput putih pada mata. Berlainan dengan ‘buta ayam’ yang rabun pada waktu senja, istilah ‘buta siang’ merujuk kepada orang yang sukar melihat pada waktu siang.

Penggunaan frasa-frasa ini mungkin berbeza mengikut daerah, generasi dan lingkungan masyarakat. Setengahnya merujuk kepada keadaan penglihatan, manakala yang lain membawa makna kiasan atau menjadi sebahagian daripada kosa kata dialek.

Hal ini membuktikan penelitian terhadap sesuatu perkataan tidak seharusnya terhad kepada makna yang tercatat dalam kamus semata-mata.

Penggunaan dalam percakapan, media dan karya kreatif turut membantu memperlihatkan perkembangan makna.

Beberapa contoh di atas juga menunjukkan bagaimana perkataan ‘buta’ memperlihatkan kekayaan semantik dalam bahasa. Daripada makna fizikal yang berkaitan dengan deria penglihatan, perkataan ini berkembang menjadi ungkapan yang menggambarkan kejahilan, ketidakpedulian, kekejaman, ketiadaan dan tindakan tanpa pertimbangan.

 

TAMBAH PENGETAHUAN

Namun begitu, kita juga perlu berhati-hati agar istilah yang berkaitan dengan ketidakupayaan penglihatan tidak digunakan sewenang-wenangnya sebagai bahan ejekan. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah turut mencerminkan sikap masyarakat terhadap manusia lain.

Cara paling mudah mendalami, memahami dan menghayati penggunaan bahasa penuh variasi ialah dengan membaca akhbar, majalah dan buku cerita. Bagi golongan pelajar, kekayaan kosa kata boleh membantu menjadikan karangan di sekolah lebih menarik.

Bagi orang ramai, amalan membaca bukan setakat membantu mengetahui berita terkini, malah memastikan kosa kata kita terus kaya dan penuh warna.

Barangkali kebutaan yang paling menakutkan bukanlah apabila sepasang mata tidak dapat melihat cahaya. Bukan juga apabila seseorang tersesat dalam malam buta atau tidak dapat membaca kerana buta huruf.

Buta yang paling dahsyat ialah apabila manusia melihat penderitaan tetapi memilih untuk tidak peduli seperti melihat ketidakadilan tetapi berpura-pura tidak tahu, melihat kebenaran tetapi sengaja memalingkan muka.

Mata mereka terbuka luas. Mereka membaca, menulis, bercakap dan membuat keputusan. Namun, hati mereka telah lama buta. Dan malangnya, orang yang paling buta kadangkala ialah orang yang paling yakin dirinya mampu melihat segala-galanya. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini