Kanak-kanak 3 tahun hilang mata kiri akibat retinoblastoma

Kanak-kanak 3 tahun hilang mata kiri akibat retinoblastoma

NURUL Darvina Mat Daud bersama Muhammad Shahiran Dayyan Mohd. Sharon (kiri) yang kini hilang mata kiri akibat kanser mata di rumah mereka di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, Muhammad Shahiran Dayyan Mohd. Sharon hilang mati kiri akibat kanser retinoblastoma.

Retinoblastoma merupakan sejenis kanser mata yang jarang berlaku dan lazimnya menyerang kanak-kanak di bawah usia enam tahun.

Ibunya, Nurul Darvina Mat Daud, 36, mula menyedari terdapat pantulan putih yang luar biasa pada mata anaknya itu selain mata terbabit sering menjadi juling yang ketara.

“Kami membawanya ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bulan lalu.

“Dia ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan menghidap kanser mata tahap E iaitu paling kritikal,” katanya ditemui di Kampung Sungai Karang Darat, di sini.

Menurut Nurul Darvina, anak kelima daripada enam beradik itu kemudian dipindahkan ke Hospital Tungku Azizah (HTA) Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan membuang bebola mata kirinya pada 15 Mei lalu.

Katanya, Muhammad Shahiran Dayyan dijadualkan hadir sekali lagi ke HTA pada 18 Jun ini bagi melakukan prosedur memasang mata palsu, namun dia belum pasti sama ada ia melibatkan bayaran atau tidak.

“Kos perjalanan dan keperluan di sana pula sudah tentu perlu ditanggung sendiri, “ katanya.

Selain itu, katanya, temu janji akan datang juga bagi membincangkan keputusan ujian sama ada Muhammad Shahiran Dayyan bebas daripada kanser atau sudah merebak ke bahagian lain.

“Sekiranya keputusan ujian mengesahkan kanser itu merebak ke bahagian lain, Muhammad Shahiran Dayyan mungkin terpaksa menjalani rawatan kimoterapi.

“Anak bongsu saya berusia dua tahun juga akan menjalani ujian bagi mengesan sama ada dia juga berisiko atau tidak kerana dia mempunyai genetik yang sama,” katanya.

Suri rumah berkenaan ber­kata, dia dan suami, Mohd. Sharon Abdul Aziz, 32, ­sangat memerlukan bantuan dan sokongan daripada mana-mana pihak bagi menampung ke­perluan perbelanjaan untuk kos berkaitan rawatan anaknya.

“Suami bekerja sebagai tukang rumah dengan gaji ha­rian kira-kira RM80 sehari dan sekiranya dia terpaksa cuti panjang kerana rawatan anak, kami hilang punca pendapatan.

“Saya difahamkan, sekiranya mata palsu yang dipasang nanti tidak sesuai untuk Muhammad Shahiran Dayyan, kami perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mendapatkan mata palsu lain,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN