Ancaman militan rekrut budak 12 tahun guna ‘Roblox’

Ancaman militan rekrut budak 12 tahun guna ‘Roblox’

Mantan Timbalan Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menghadiri Ceramah Perdana Mawlid di Pusat Konvensyen Matrade Kuala Lumpur hari ini. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Modus operandi kumpulan pengganas kini dikesan semakin licik dan membimbangkan apabila mereka mula menyasarkan kanak-kanak serta remaja seawal usia 12 hingga 15 tahun melalui platform permainan video dalam talian, Roblox.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, taktik penyebaran fahaman ekstremis itu kini beralih ke alam maya bagi mempengaruhi pemikiran generasi muda negara.

Beliau berkata, jika dahulu proses perekrutan dilakukan secara bersemuka menerusi sesi tertutup, kini golongan muda didekati melalui ruang permainan digital sebelum dibawa ke kumpulan perbualan tertutup untuk proses indoktrinasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita dapat kesan budak-budak umur 12, 14, 15 tahun sudah mula direkrut melalui permainan Roblox. Di situ mereka diasuh dan dididik untuk melancarkan serangan keganasan,” katanya ketika menjadi panelis Konvensyen Mawlid Perdana 6.0 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE, di sini.

Konvensyen itu anjuran gabungan pertubuhan India Muslim, termasuk Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) dan Ikatan Muslim India Malaysia (IMIM).

Mengulas lanjut, Ayob Khan mengingatkan masyarakat supaya tidak memandang ringan ancaman fahaman Salafi Jihadi yang boleh mendorong pengikutnya menghalalkan keganasan atas nama agama.

Menurutnya, bahaya fahaman itu terbukti menerusi insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 2024 yang menyaksikan anggota polis menjadi sasaran keganasan.

Beliau turut mendedahkan ketaksuban melampau dalam kalangan pengikut fahaman berkenaan sehingga ada ahli keluarga yang berbangga dengan kematian anggota keluarga terbabit dalam keganasan, kononnya sebagai syahid.

“Fahaman ini akan kekal wujud sampai hari kiamat jika tidak dibendung. Biarpun kumpulan pengganas Daesh dilihat melemah, ideologi radikal mereka masih meresap dalam pelbagai bentuk moden,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan undang-undang pencegahan yang berkesan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan awal sebelum ancaman keganasan menjadi lebih serius.

Menurut Ayob Khan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkan fahaman ekstremis tanpa perlu menunggu proses lain yang boleh melambatkan tindakan.

“Kalau dulu ada ISA, kita boleh ambil tindakan. Tidak perlu tunggu pejabat agama. Berapa banyak operasi yang kita buat untuk menangkap orang yang menyebarkan fahaman sesat.

“Memanglah ramai penceramah politik yang mengatakan ISA ini zalim dan sebagainya, tetapi itulah undang-undang paling berkesan untuk digunakan bagi memulihkan elemen-elemen militan,” katanya.

Beliau turut menggesa umat Islam di negara ini supaya berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunnah Waljamaah berteraskan Asyairah dan Maturidiyyah serta bermazhab Syafii bagi memelihara perpaduan dan keamanan negara daripada ancaman fahaman ekstremis. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini