SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang menghidap kanser otak memerlukan bantuan sebanyak RM60,000 bagi mendapatkan mesin bantuan pernafasan mudah alih dan mesin penyedut kahak (suction).
Bantuan itu diperlukan keluarganya sebelum dia dibenarkan pulang ke rumah selepas hampir enam bulan menerima rawatan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
Ibunya, Mardiana Abdul Husin, 26, berkata, anak sulungnya, Tiara Camelia Muhammad Ralfie disahkan menghidap kanser otak jenis Pilocytic Astrocytoma pada 14 Jun lalu sebelum dirujuk ke HTA untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, pihak hospital memaklumkan, anaknya itu dibenarkan pulang selepas kedua-dua peralatan berkenaan diperoleh bagi memastikan keadaannya terus dipantau dan mendapat penjagaan rapi di rumah.
“Anggaran kos mendapatkan peralatan berkenaan serta keperluan perubatan lain mencecah RM60,000 manakala tempoh menunggu untuk mendapatkannya boleh mengambil masa sehingga tiga bulan.
“Kami hanya ingin membawa Tiara pulang supaya dia dapat berada bersama keluarga dan meneruskan kehidupannya dalam suasana rumah sendiri, walaupun perjuangan rawatannya masih panjang.
“Setiap hari Tiara cakap dia tidak sabar hendak balik, berjumpa dan sambut hari lahir adiknya di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mardiana berkata, bagaimanapun sebelum dibenarkan pulang, Tiara perlu menjalani satu lagi pembedahan bagi pemasangan tiub pemakanan selain meneruskan rawatan kemoterapi setiap minggu di hospital untuk tempoh kira-kira tiga tahun.
Berkongsi keadaan anaknya, beliau berkata, Tiara mula mengalami masalah kesihatan sejak berusia tiga tahun dan kerap menerima rawatan di hospital sebelum penyakitnya dikenal pasti sebagai kanser otak.
“Pemeriksaan mendapati terdapat ketumbuhan di bahagian belakang otak Tiara berhampiran saraf tunjang sehingga mengganggu aliran cecair otak.
“Setakat ini, Tiara sudah menjalani 15 pembedahan otak serta pelbagai prosedur perubatan sepanjang tempoh rawatan, termasuk berada di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hampir empat bulan,” ujarnya.
Menurutnya, Tiara juga masih menggunakan tiub trakeostomi pada leher bagi membantu pernafasannya selain memerlukan alat khas dikenali sebagai speaking valve untuk membolehkannya mengeluarkan suara.
Dalam pada itu, Mardiana berkata, suaminya, Muhamad Ralfie Ansari, 29, kini hanya bekerja secara sambilan selama tiga hingga empat hari di sebuah kilang apabila berpeluang bagi menampung perbelanjaan keluarga.
“Suami terpaksa berhenti bekerja di Johor Bahru untuk membantu menjaga Tiara di hospital. Dalam masa sama, kami juga perlu menjaga seorang lagi anak yang masih bayi berusia 11 bulan.
“Jadi, kami terpaksa bergilir-gilir menjaga Tiara di hospital sehingga perlu berulang-alik dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur untuk menguruskan kedua-duanya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB bernombor 7657372212 atas nama Mardiana Abdul Husin. – UTUSAN











