Premium RM1,000 KLSCAH bagi kekalkan bangunan warisan – Hannah - Utusan Malaysia

Premium RM1,000 KLSCAH bagi kekalkan bangunan warisan – Hannah

HANNAH YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penetapan premium tanah sebanyak RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) dibuat bagi membolehkan bangunan berusia 103 tahun itu terus dipelihara sebagai bangunan warisan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, bangunan yang diwartakan sebagai warisan pada 2007 itu turut mencatat defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000.

Katanya, keadaan itu disebabkan peningkatan kos penyelenggaraan, struktur bangunan yang semakin berusia serta keperluan menaik taraf aspek keselamatan dan kemudahan teknikal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemimpin UMNO dan Pas serta segelintir penunggang agama kuat memainkan isu ini sejak semalam kerana Kerajaan Madani mengenakan premium tanah sebanyak RM1,000 sahaja kepada KLSCAH.

“Kenapa RM1,000 sahaja? Sebab KLSCAH rela menukar status tanah kepada tanah institusi yang hilang potensi pembangunan tinggi seperti kondominium atau pusat beli-belah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hannah berkata, dakwaan kononnya kerajaan menggadaikan hasil negara dengan tidak mengenakan premium tanah sebanyak RM4 juta adalah tidak tepat kerana bayaran tersebut bergantung kepada syarat dan potensi kegunaan tanah.

Menurut beliau, pihak tertentu turut cuba mengelirukan masyarakat dengan mengaitkan isu premium tanah berkenaan dengan bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau berkata, cukai pendapatan pula dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), manakala sewa PPR dibayar kepada pemilik rumah.

“Premium tanah dibayar kepada kerajaan berdasarkan syarat dan potensi kegunaan tanah itu. Cukai tanah dibayar kepada pejabat tanah.

“Cukai taksiran pula dibayar kepada DBKL atas perkhidmatan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan seperti pengutipan sampah dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah menolak dakwaan bahawa kerajaan hanya memberikan keistimewaan kepada KLSCAH sedangkan rakyat tidak menikmati manfaat sama.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini memberikan diskaun sewa sebanyak 50 peratus kepada 10,000 peniaga di ibu negara bagi tempoh dua tahun.

“DBKL yang pertama memberikan diskaun sewa 50 peratus kepada 10,000 peniaga di Kuala Lumpur bukan untuk setahun tetapi dua tahun lamanya.

“Kos bazar Ramadan kita paling rendah di Malaysia, RM400 satu lot sahaja sepanjang Ramadan. Di Kuala Lumpur, kita jaga semua tidak kira kaum atau agama,” katanya.

Mengulas lanjut, Hannah turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan keputusan KLSCAH menukar status tanah kepada kegunaan institusi bagi mengekalkan nilai warisan bangunan berkenaan.

Beliau berkata, usaha memelihara bangunan bersejarah penting bagi memastikan warisan Kuala Lumpur terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Kalau mereka faham, dah lama mereka naik taraf dan jaga Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara dengan baik.

“Siapa yang buat? Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang buat. Masa itu mereka bising juga kenapa belanja RM600 juta untuk tujuan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini