LIPIS: Rezeki musim banjir apabila seorang nelayan sungai memperoleh RM600 hasil tangkapan seekor ikan patin buah seberat empat kilogram menggunakan umpan belalang kunyit di Sungai Jelai, berhampiran Kampung Mela di sini.
Roslan Idris berkata, ikan itu menyambar umpan yang dipasang pada arai di bawah Jambatan Gemuncur kira-kira pukul 6.30 petang semalam, ketika air sungai mula surut selepas hujan reda di kawasan hulu.
Katanya, sudah dua minggu dia gagal memperoleh ikan liar berikutan arus Sungai Jelai yang deras akibat hujan lebat di kawasan hulu sungai.
“Apabila saya memeriksa arai kira-kira pukul 7.30 pagi, saya dapati talinya ditarik kuat dan kelihatan ikan meronta-ronta di permukaan air.
“Sebaik mengangkat arai, saya terkejut apabila terdapat seekor patin buah tersangkut pada mata kail,” katanya ketika ditemui di Kampung Mela di sini.
Menurutnya, ikan itu kemudian dibawa ke kedai peraih di pekan Kuala Tembeling untuk ditimbang sebelum dijual pada harga RM150 sekilogram.
Katanya, dia sememangnya bercadang menjual ikan berkenaan kepada peraih memandangkan harga yang ditawarkan agak lumayan.
Tambahnya, ikan patin buah mendapat permintaan tinggi, khususnya dalam kalangan pengusaha restoran di Lipis dan Jerantut kerana keenakan isinya apabila dimasak bersama tempoyak.
“Hasil jualan RM600 itu akan digunakan untuk membeli barang keperluan dapur sebagai persediaan menghadapi musim banjir, selain menambah peralatan menangkap ikan seperti jala dan jaring,” ujarnya. – UTUSAN











